Pan Gon mahu Selangor lebih klinikal

zulfaizan@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih Selangor FC, Kim Pan Gon mahu anak buahnya lebih klinikal di depan gol terutama dalam mendapatkan jaringan awal pada perlawanan akan datang.

Selangor meneruskan rentak kemenangan keempat berturut-turut dalam Liga Super apabila menewaskan pasukan jiran, Kuala Lumpur (KL) City 3-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.

Pan Gon bagaimanapun menyifatkan jaringan yang hadir agak lewat ketika berdepan City Boys sedikit mengecewakan, biarpun Selangor menguasai permainan dan mencipta beberapa peluang berbahaya pada awal permainan.

Pengendali dari Korea Selatan itu menjelaskan, menjaringkan gol seawal mungkin amat penting bagi memastikan pasukannya dapat mengawal permainan dengan lebih baik.

“Saya berasa apa yang dilakukan pemain adalah satu persembahan yang hebat untuk memberikan aksi terbaik kepada penyokong dan suasana (di stadium) juga sangat bagus.

“Saya fikir jaringan hadir agak lewat, ia sedikit mengecewakan. Namun, kami cuba menjaringkan gol awal dan cuba mendominasi permainan serta mengawalnya berdasarkan karakter kami.

“Pada awal permainan, kami sudah mendapat beberapa peluang untuk menjaringkan gol. Jadi, menjaringkan gol awal adalah sangat penting. Selepas gol pertama, menjaringkan gol kedua juga sangat penting.

“Aspek itu yang perlu kami perbaiki. Kadang-kadang jumlah gol yang kami hasilkan tidak menggambarkan prestasi kami. Jika kami mahu menjadi pasukan yang lebih baik dan mahu mencabar kedudukan terbaik, kami perlu memperbaiki perkara itu,” katanya.

Selangor yang tampil garang sejak awal permainan berjaya membuka jaringan menerusi A Selvan pada minit ke-25 sebelum Chrigor Moraes dan Eduardo Sosa menambah gol pada minit ke-51 dan 73.

Kemenangan itu meletakkan Gergasi Merah kekal di kedudukan ketiga, berkongsi 12 mata bersama pasukan tangga kedua, Kuching City dan tiga mata di belakang JDT yang berada di puncak carta liga.

Selain itu, Pan Gon memuji prestasi barisan pemainnya yang mengetepikan keletihan selepas mengharungi jadual padat untuk meneruskan momentum kemenangan dan menggembirakan seluruh penyokong Selangor.

“Saya menghargai apa yang dilakukan pemain yang mana dalam tempoh dua atau tiga minggu ini, jadual kami agak padat. Mereka sepatutnya sudah keletihan, tetapi saya fikir semangat dan keinginan mereka lebih kuat daripada keadaan fizikal yang dihadapi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top