Gabenor baharu Okinawa sokong pemindahan pangkalan AS

Naha: Bekas Timbalan Datuk Bandar Naha, Genta Koja, menjadi Gabenor Okinawa pertama dalam tempoh 12 tahun yang menyokong rancangan pemindahan sebuah pangkalan utama Amerika Syarikat (AS) selepas memenangi pilihan raya gabenor wilayah itu pada Ahad, lapor Japan Today.

Koja, 42, yang juga bekas pegawai kerajaan pusat adalah calon yang mendapat sokongan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi dan Parti Liberal Demokratik (LDP), menewaskan penyandang jawatan, Denny Tamaki yang menentang pemindahan Stesen Udara Kor Marin AS Futenma di Ginowan ke kawasan pesisir Henoko di Nago.

Kemenangan Koja memberi kelebihan kepada kerajaan Takaichi ketika ia meneruskan projek berkenaan yang kontroversi, manakala kerja membina kemudahan pengganti terus dijalankan selepas pertikaian undang-undang dengan kerajaan pusat dan hampir tiada langkah berkesan yang masih boleh diambil Okinawa untuk menghalang pemindahan itu.

“Saya akan meminta kerajaan mengurangkan beban menempatkan pangkalan AS,” katanya.

Koja turut berjanji meminta kerajaan menjelaskan bila tapak Futenma akan dikembalikan kepada bandar Ginowan selepas proses pemindahan yang dijangka berlaku seawal 2036.

Menurut media tempatan, beliau menjadi gabenor Okinawa pertama yang dilahirkan selepas 1972, iaitu tahun kepulauan itu dikembalikan kepada Jepun selepas berada di bawah kawalan AS sejak kekalahan Jepun dalam Perang Dunia Kedua pada 1945.

Koja juga menjadi calon pertama yang disokong LDP dan memenangi pilihan raya gabenor Okinawa yang diadakan setiap empat tahun sejak 2010.

Sementara itu, Tamaki, 66, menentang rancangan pemindahan berkenaan sepanjang dua penggalnya sebagai gabenor dan menuntut pangkalan itu dipindahkan ke luar wilayah Okinawa yang masih menempatkan sebahagian besar kemudahan yang digunakan khusus oleh Tentera AS di Jepun.

Tamaki berkata, kekalahannya itu mencerminkan pilihan rakyat Okinawa, namun beliau tetap mempertahankan pendiriannya untuk menentang pemindahan pangkalan berkenaan.

Pemindahan Futenma berdasarkan perjanjian 1996 antara kerajaan Jepun dan AS untuk menghapuskan bahaya yang ditimbulkan pangkalan itu kepada kawasan sekitarnya, namun sejarah Okinawa serta kebimbangan terhadap keselamatan, bunyi bising serta alam sekitar menyebabkan ramai penduduk wilayah berkenaan terus menentangnya.

Difahamkan, ketika berkempen, Koja berjanji menggandakan pendapatan per kapita Okinawa yang sejak sekian lama adalah yang terendah di Jepun dengan menghidupkan semula ekonomi tempatan yang sangat bergantung kepada pelancongan, selain berusaha mendapatkan peruntukan lebih besar daripada kerajaan pusat untuk pembangunan wilayah itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top