Melaka: Kerajaan Persekutuan meluluskan lapan projek pembangunan tebatan banjir di Melaka bernilai keseluruhan RM1.46 bilion bagi tempoh 2021 hingga 2026, dalam usaha meningkatkan tahap perlindungan penduduk di kawasan berisiko banjir.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka Mohd Adnan Ahmad Fauzi berkata, projek berkenaan adalah sebahagian daripada usaha bersepadu Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan kerajaan negeri bagi mengurangkan risiko serta impak kejadian banjir di negeri itu.
Beliau berkata projek berkenaan ialah Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Alor Gajah Fasa 1, RTB Bandar Jasin, RTB Bandar Merlimau, RTB Sungai Putat, RTB Sungai Duyong serta projek menaik taraf Kolam Tebatan Banjir Krubong-Durian Tunggal sebagai kolam dwifungsi untuk tebatan banjir dan sumber air negeri.
“Daripada enam projek yang sedang dilaksanakan itu, lima dijangka siap sepenuhnya menjelang suku keempat 2027, manakala satu lagi projek dijangka siap pada 2030.
“Dua projek masih di peringkat prapelaksanaan pula ialah RTB Sungai Melaka Fasa 1 dan RTB Sungai Baru di Alor Gajah, yang kini berada pada fasa reka bentuk,” katanya kepada Bernama.
Mohd Adnan berkata, walaupun setakat ini tiada projek RTB siap sepenuhnya, data hotspot banjir yang dikeluarkan Unit Hidrologi JPS Melaka serta Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) menunjukkan penurunan daripada 157 hotspot banjir pada 2021 kepada 106 hotspot pada tahun lepas.
“Apabila semua projek RTB ini siap sepenuhnya, kita menjangkakan lebih 50,000 penduduk di Melaka akan mendapat perlindungan daripada risiko banjir,” katanya.
Mohd Adnan berkata keberkesanan projek yang sedang dilaksanakan dinilai menerusi data pemantauan kejadian banjir termasuk kekerapan, tempoh dan kedalaman banjir, keluasan kawasan terjejas serta data hujan.
Beliau berkata, data berkenaan sentiasa dipantau Bahagian Pengurusan Sumber Air dan Hidrologi Melaka serta Pusat Ramalan dan PRABN bagi membantu JPS menilai keberkesanan langkah mitigasi yang dilaksanakan.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Adnan berkata, pendekatan mitigasi banjir di Melaka kini tidak lagi hanya tertumpu kepada usaha melebarkan sungai, sebaliknya beralih kepada pengurusan lembangan sungai secara bersepadu dari kawasan tadahan di hulu sehingga ke muara.
“Reka bentuk projek RTB turut mengambil kira corak perubahan iklim dan kemungkinan berlaku kejadian hujan lebih ekstrem pada masa hadapan berdasarkan data hidrologi, rekod hujan serta unjuran perubahan iklim.
“Namun, projek tebatan banjir tidak dapat menjamin banjir dielakkan sepenuhnya, khususnya ketika berlaku hujan luar biasa yang melebihi kapasiti reka bentuk sistem saliran dan sungai,” katanya.
Beliau berkata, antara penambahbaikan dilaksanakan di Melaka ialah pembinaan lebih banyak kolam takungan banjir, menaik taraf sungai dan penggunaan rumah pam yang lebih efisien.
Sebagai contoh, beliau berkata Projek RTB Sungai Baru di Masjid Tanah melibatkan cadangan empat kolam takungan banjir sebagai langkah jangka panjang bagi mengurangkan kejadian banjir berulang.
Mohd Adnan berkata, JPS turut memperkukuh penggunaan teknologi digital dan data masa nyata termasuk sistem ramalan banjir, pemantauan aras sungai dalam talian, data hujan automatik serta pemodelan hidrologi dan hidraulik bagi membolehkan ramalan awal dan tindakan lebih pantas diambil.
Beliau berkata, satu lagi projek mitigasi banjir di Melaka dengan anggaran kos RM145 juta telah diangkat untuk pertimbangan dan kelulusan Kementerian Ekonomi di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
© New Straits Times Press (M) Bhd
