am@hmetgro.com.my
Melaka: Rakyat Melaka tidak perlu panik atau bimbang berkenaan keselamatan bekalan air susulan penemuan disyaki rangka manusia di kawasan rizab Empangan Durian Tunggal, semalam.
Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Salhah Salleh berkata, pemantauan kualiti air yang dilaksanakan setakat ini menunjukkan tiada pelanggaran terhadap parameter kualiti air yang ditetapkan.
Beliau berkata, penemuan berkenaan tidak boleh ditafsirkan secara langsung sebagai berlaku pencemaran atau menjejaskan keselamatan bekalan air kepada pengguna.
Sebarang kesimpulan berkaitan perkara itu hendaklah dibuat berdasarkan keputusan pemantauan, pensampelan dan penilaian teknikal pihak berkuasa.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan tidak panik dan tidak membuat sebarang kesimpulan atau menyebarkan maklumat belum disahkan, khususnya berkaitan keselamatan bekalan air, identiti mangsa atau punca kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Salhah berkata, kerajaan negeri memahami kebimbangan orang ramai kerana kawasan penemuan berkenaan adalah sebahagian daripada kawasan tadahan dan sumber air mentah bagi bekalan air di Melaka.
Bagaimanapun, katanya, air yang disalurkan kepada pengguna adalah air terawat yang melalui proses rawatan di loji rawatan air sebelum dibekalkan kepada pengguna, dengan kualitinya tertakluk kepada pemantauan serta pemeriksaan mengikut prosedur dan piawaian ditetapkan.
“Aspek keselamatan sumber air sentiasa menjadi keutamaan kerajaan negeri dan perkara itu tidak dipandang ringan, katanya.
Beliau berkata pemantauan dan pemeriksaan kualiti air akan dipertingkatkan di kawasan berkenaan, termasuk pensampelan serta ujian yang diperlukan bagi memastikan keadaan sumber air terus dipantau dengan rapi.
Pada masa sama, katanya, kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan polis serta agensi teknikal berkaitan bagi memastikan setiap aspek berhubung penemuan itu diberi perhatian sewajarnya mengikut bidang kuasa masing-masing.
Salhah berkata, sebarang perkembangan yang mempunyai implikasi terhadap keselamatan atau bekalan air rakyat akan dimaklumkan kepada orang ramai melalui saluran rasmi.
Terdahulu, media melaporkan penemuan disyaki rangka manusia dalam sebuah tong biru berisi simen di kawasan rizab Empangan Durian Tunggal dilaporkan kepada polis kira-kira jam 11.40 pagi semalam.
© New Straits Times Press (M) Bhd
