am@hmetro.com.my
Seremban: Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan menegaskan bahawa proklamasi bertarikh 19 April 2026 berhubung penurunan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir adalah tidak sah di sisi Perlembagaan.
Setiausaha DKU, Raja Norazli Raja Nordin berkata, tiga daripada empat orang yang menandatangani proklamasi berkenaan tidak memegang jawatan Undang menurut adat Luak masing-masing pada tarikh berkenaan.
“Malah, perkara 10 (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 menetapkan bahawa Undang hanya boleh menyeru Duli Yang Maha Mulia berundur atau melepaskan jawatan Yang di-Pertuan Besar selepas siasatan yang penuh dan lengkap dilaksanakan.
“Syarat itu adalah mandatori, namun tiada siasatan sedemikian yang pernah dilaksanakan, tiada yang pernah dibawa ke hadapan Dewan dan Duli Yang Maha Mulia tidak pernah diberi notis atau peluang untuk didengar.
“Justeru, proklamasi bertarikh 19 April 2026 itu adalah cacat sejak awal,” katanya dalam kenyataan hari ini, berhubung keputusan yang dicapai dalam Mesyuarat DKU Khas yang diadakan di Seri Menanti, Kuala Pilah, semalam.
Raja Norazli berkata, pada 20 April 2026, Menteri Besar yang ketika itu memegang jawatan enggan menandatanganinya di bawah Perkara 10(2) UUTKNS 1959, atas alasan bahawa syarat perkara 10 UUTKNS 1959 tidak dipenuhi dan salah seorang yang menandatangani bukan seorang Undang.
“Dengan keengganan itu, fungsi Menteri Besar di bawah Perkara 10(2) UUTKNS 1959 telah pun dilaksanakan dan dengan itu proklamasi itu luput dan terbatal,” katanya.
Beliau berkata, tiada sebarang siasatan diadakan dalam tuntutan memenuhi Perkara 10 UUTKNS 1959.
Menurutnya, walaupun seorang Menteri Besar yang baharu menandatangani proklamasi yang sama yang didakwa berlaku pada 3 Ogos lalu, namun perbuatan itu tidak memulihkan apa-apa.
Katanya, seorang Menteri Besar yang baharu tidak boleh melaksanakan semula suatu fungsi yang telah pun dilaksanakan.
“Jika tidak, setiap pertukaran Menteri Besar akan menghidupkan semula proklamasi yang sama dan perkara itu tidak akan berkesudahan,” jelasnya.
Berhubung kenyataan media oleh Undang pada 5 September dan sidang media kumpulan berkenaan tiga hari kemudian (8 September 2026), Raja Norazli berkata, perkara itu tidak mempunyai apa-apa kesan kerana ia hanya bersandar sepenuhnya kepada proklamasi 19 April 2026 yang cacat dan telah luput serta pada surat cara bertarikh 3 Ogos 2026 yang tidak menambah apa-apa kepada keabsahan proklamasi itu.
Beliau berkata, kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan adalah kekal.
Katanya, tiada proses yang sah pernah menyebabkan Tuanku Muhriz terhenti memegang jawatan itu.
“Baginda kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Yang di-Pertua Dewan (DKU). Dewan tidak mengiktiraf apa-apa kekosongan dan tidak mengiktiraf mana-mana orang lain sebagai memegang jawatan itu.
“Tidak boleh ada pengganti selagi jawatan itu dipegang secara sah. Seseorang yang tidak memegang jawatan tidak boleh menjalankan kuasa jawatan itu,” katanya.
Raja Norazli berkata, apa-apa yang dilakukan atas nama jawatan yang tidak dipegang tidak mempunyai kesan di sisi adat.
Beliau berkata, pada masa ini, Undang Luak Sungei Ujong disandang oleh Dato’ Klana Petra Muhammad Faris Johari; Undang Luak Rembau, Dato’ Sedia Raja Haji Hassan Ab Hamid dan Undang Luak Johol oleh Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Dato’ Haji Muhammed Abdullah.
Menurutnya, jawatan Undang Luak Jelebu dan Dato’ Shahbandar Sungei Ujong adalah kosong.
“Tindakan enam individu menandatangani dokumen bertarikh 5 September 2026 lalu dianggap derhaka di sisi adat dan undang-undang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
