Kerajaan galak lebih banyak PPKM M.V.15 dibuka

hazwanfaisal@mediaprima.com.my

Sungai Buloh: Kerajaan mahu lebih banyak Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) khusus untuk menjalankan Pemeriksaan Tukar Hak Milik (M.V.15) kenderaan persendirian, dibuka di seluruh negara bagi memperluas akses rakyat kepada perkhidmatan berkenaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerajaan tidak mengehadkan bilangan pengendali PPKM M.V.15 dan mana-mana syarikat yang mampu memenuhi syarat ditetapkan dialu-alukan memohon lesen.

“Kita mahu melihat lebih banyak pusat seperti ini dibuka di seluruh negara supaya rakyat di setiap negeri dapat menikmati akses yang sama,” katanya pada Majlis Pelancaran Pusat Pemeriksaan M.V.15 CARSOME Academy, di sini, hari ini.

Loke berkata, langkah memperluaskan rangkaian pusat pemeriksaan itu menyusuli liberalisasi perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor yang diperlukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, selepas tempoh konsesi tunggal berakhir pada 31 Ogos 2024, perkhidmatan itu beralih daripada sistem konsesi pemain tunggal kepada sistem pelesenan pelbagai pemain.

“Sebelum ini, pemilik kenderaan persendirian yang mahu melakukan pertukaran hak milik hanya mempunyai satu pilihan untuk menjalani pemeriksaan M.V.15.

“Mereka juga perlu berkongsi kapasiti dengan pemeriksaan berkala kenderaan perdagangan dan kenderaan berat, yang sering mengakibatkan kesesakan serta masa menunggu yang panjang.

“Pada 16 Julai 2025, Kementerian Pengangkutan (MOT) mengumumkan pelantikan beberapa syarikat baharu untuk mengendalikan PPKM dengan fungsi khusus bagi pemeriksaan M.V.15 untuk kenderaan persendirian, termasuk CARSOME Academy Sdn Bhd,” katanya.

Bagaimanapun, Loke menegaskan, pelantikan sebagai pengendali bukan jaminan automatik untuk memperoleh lesen operasi.

Katanya, syarikat perlu memenuhi syarat dalam Garis Panduan Pemberian Lesen PPKM M.V.15, dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjalankan pemantauan berterusan sebelum lesen operasi dikeluarkan.

Dalam pada itu, kadar bayaran pemeriksaan di semua pusat berlesen kekal diseragamkan dan dikawal kerajaan, sekali gus bermakna pengendali tidak boleh bersaing menerusi harga.

Sebaliknya, persaingan antara pengendali adalah menerusi kualiti perkhidmatan, ketelusan dan kecekapan.

Loke berkata, MOT dan JPJ juga akan meneruskan audit mengejut serta pemantauan berterusan terhadap semua pengendali berlesen bagi memastikan tanggungjawab pemeriksaan dilaksanakan dengan sewajarnya.

Pusat Pemeriksaan M.V.15 CARSOME Academy di Sungai Buloh yang dilancarkan adalah pusat M.V.15 pertama dikendalikan sebuah institusi latihan TVET automotif.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top