Pempengaruh Malaysia, Aisar Khaled dilaporkan kepada polis Indonesia berhubung dakwaan penipuan membabitkan wang kira-kira 5.7 bilion rupiah (RM1.3 juta).
Lapor Tribunnews.com, laporan itu dibuat kepada Kepolisian Daerah Metropolitan Jakarta Raya (Polda Metro Jaya) pada Isnin selepas Aisar didakwa gagal memberikan maklum balas terhadap tiga notis tuntutan yang dikemukakan pihak terbabit.
Peguam syarikat berkenaan, Machi Achmad berkata, laporan dibuat mengikut beberapa peruntukan dalam Undang-Undang Nombor 1 Tahun 2023 mengenai Kitab Undang-Undang Hukum Pidana (KUHP).
“Kami hari ini mewakili pelanggan kami untuk melaporkan seorang pempengaruh mengikut Seksyen 492, 486 dan 607 Undang-Undang Nombor 1 Tahun 2023,” katanya ketika ditemui di Polda Metro Jaya pada Isnin.

Menurut Machi, pihaknya sudah menghantar tiga notis tuntutan kepada Aisar, namun mendakwa tidak menerima sebarang jawapan atau maklumat mengenai keberadaan pempengaruh terbabit.
Sementara itu, seorang lagi peguam, Michael Sugijanto berkata, pertikaian berkenaan berpunca daripada perjanjian pelaburan antara Aisar dengan syarikat terbabit.
Katanya, masih terdapat baki kewajipan yang belum diselesaikan Aisar berjumlah kira-kira 5.7 bilion rupiah.
“Dalam perjanjian itu, baki yang belum dibayar Aisar sekitar 5.7 bilion rupiah,” katanya.
Michael berkata, berdasarkan perjanjian tersebut, Aisar turut mempunyai kewajipan melaksanakan beberapa tugasan termasuk menghadiri acara tertentu secara langsung sebagai sebahagian daripada penyelesaian kewajibannya.
Bagaimanapun, pihak syarikat mendakwa perkara itu masih belum diselesaikan seperti dipersetujui.
Laporan berkenaan kini memberi laluan kepada pihak berkuasa Indonesia menjalankan siasatan bagi menentukan sama ada wujud unsur jenayah dalam pertikaian terbabit.
Setakat laporan Tribunnews.com pada Isnin, Aisar masih belum memberikan sebarang kenyataan berhubung laporan polis berkenaan.
Sumber: Tribunnews
