KUALA LUMPUR: Presiden Ratu Prestigious Event Management (RPEM), Ayu Omar, tampil menjelaskan kontroversi berhubung pemilihan peserta Miss Universe Malaysia (MUM) 2026 yang dipersoalkan segelintir pengikut pertandingan ratu cantik di media sosial.
Menurut Ayu, pihaknya menyedari wujud beberapa komen dan luahan daripada pengikut setia MUM yang menyifatkan pemilihan peserta tahun ini agak berbeza berbanding edisi terdahulu.
Beliau berkata, perubahan yang berlaku tidak seharusnya dilihat dari sudut negatif kerana pihak penganjur masih mempunyai tempoh untuk memperkemas dan mempersiapkan barisan finalis sebelum mereka berdepan minggu pertandingan.
“Seperti yang kita tahu, organisasi terdahulu telah memegang lesen ini selama bertahun-tahun dan ini merupakan tahun pertama saya diberi kepercayaan untuk mengendalikan pertandingan ini. Sudah tentu saya perlu mendapatkan kepercayaan daripada rakyat Malaysia untuk menyertai dan meneruskan pertandingan ratu cantik ini.
“Secara jujurnya, ketika saya diumumkan sebagai Presiden Miss Universe Malaysia 2026, ada yang menganggap bahawa wanita Melayu boleh turut serta. Namun, seperti yang kita tahu, kerajaan telah menetapkan bahawa individu beragama Islam atau berbangsa Melayu tidak dibenarkan menyertai pertandingan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ayu berkata, perbezaan antara keadaan peserta ketika sesi uji bakat dengan keadaan mereka ketika ini turut menjadi antara perkara yang mencetuskan persepsi dalam kalangan pengikut pertandingan berkenaan.
Katanya, pihak penganjur bagaimanapun sudah melakukan beberapa perubahan terhadap peserta dan masih mempunyai masa untuk memperkemas persediaan mereka sebelum minggu pertandingan yang dijadual bermula pada 29 September ini.
“Kalau kita tengok sendiri, sama ada wartawan mahupun pencinta pertandingan ratu cantik, video daripada hari uji bakat dengan keadaan mereka pada hari ini memang sangat berbeza. Kita hanya membuat sedikit perubahan kepada mereka.
“Kita masih mempunyai masa sebelum minggu pertandingan, iaitu lebih kurang tiga minggu lagi. Selain itu, untuk persediaan ke Puerto Rico pada November juga masih ada masa. Memang ada yang menganggap tempoh itu agak singkat, tetapi jika kita mempunyai usaha dan kesungguhan untuk mengubah diri, khususnya dalam kalangan finalis, pasti akan ada hasil,” katanya.
Ayu berkata, beliau yakin barisan finalis yang dipilih organisasi tahun ini mempunyai potensi besar untuk menggunakan platform tersebut bagi membawa suara rakyat Malaysia.
“Saya percaya finalis-finalis pada tahun ini yang telah dipilih oleh pihak organisasi adalah barisan yang sangat luar biasa. Mereka mempunyai kesungguhan untuk mengubah diri sendiri dan menggunakan platform ini sebaik-baiknya untuk menjadi suara kepada rakyat Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Ayu menegaskan pihaknya tidak melihat komen negatif yang dilemparkan terhadap peserta sebagai sesuatu yang semata-mata merugikan.
Sebaliknya, beliau menggalakkan semua finalis mengambil komen tersebut sebagai dorongan untuk memperbaiki diri menjelang pertandingan.
“Pagi tadi sewaktu sesi latihan, saya sendiri bercakap dengan kesemua finalis. Kalau kamu semua melihat komen negatif itu dari sudut negatif, maka negatiflah hasilnya. Tetapi kalau kamu melihat komen negatif itu dari sudut positif, maka ia juga boleh menjadi sesuatu yang positif.
“Kalau kita lihat, pada hari uji bakat ada beberapa peserta yang kelihatan agak berisi. Namun, daripada komen-komen negatif itu, mereka mengambil sisi positif untuk memperbaiki diri. Alhamdulillah, kita dapat lihat pada hari ini finalis-finalis sudah sangat bersedia. Mungkin masih ada beberapa perkara yang perlu kita perkemaskan lagi sebelum minggu pertandingan, insya-Allah,” katanya.
MUM 2026 yang membawa tema Legacy Reimagined menyaksikan kelainan apabila penyertaan dibuka kepada wanita berusia antara 21 hingga 50 tahun. Sebanyak 13 finalis telah diperkenalkan setakat ini, manakala dua lagi peserta dijangka diumumkan kemudian.
Mengulas keputusan membuka acara kemuncak kepada peminat pertandingan ratu cantik melalui penjualan tiket, Ayu berkata langkah itu dibuat bagi memberi peluang kepada mereka menjadi saksi secara langsung kepada detik penobatan MUM 2026.
Beliau berkata, pendekatan tersebut mengambil inspirasi daripada beberapa pertandingan ratu cantik di luar negara yang turut membuka acara kepada penonton.
“Kalau kita tengok pada tahun-tahun sebelum ini, semua majlis Miss Universe Malaysia sangat tertutup dan sangat eksklusif. Jadi, mengapa kita membuka kepada pencinta pertandingan ratu cantik yang ingin turut serta menjadi saksi pada malam final?
“Kalau kita lihat di luar negara, terutama di Thailand dan Filipina, mereka membuka pertandingan kepada penonton kerana mereka menganggap pertandingan ratu cantik ini bukanlah satu platform untuk kecantikan sahaja. Daripada situlah datangnya idea untuk kita berkongsi detik ini bersama pencinta pertandingan ratu cantik yang sudah bertahun-tahun menunggu untuk turut serta melihat dan menjadi saksi kepada sesi penobatan Miss Universe Malaysia 2026,” katanya.
Malam kemuncak MUM 2026 dijadual berlangsung pada 2 Oktober depan, selepas sesi pertandingan awal pada 30 September.
Ayu turut mengakui wujud persoalan terhadap pengurusan baharu MUM 2026 memandangkan RPEM merupakan organisasi yang mengambil alih lesen berkenaan selepas syarikat terdahulu mengendalikannya selama bertahun-tahun.
Menurutnya, perubahan pengurusan itu secara tidak langsung menyebabkan orang ramai membuat perbandingan, terutama apabila organisasi terdahulu mempunyai hubungan dengan pelbagai penaja dan jenama besar.
“Ini merupakan tahun pertama saya mengambil alih lesen Miss Universe Malaysia 2026. Sudah tentu ia menjadi teka-teki kepada semua orang kerana sebelum ini kita tahu syarikat terdahulu telah memegang lesen tersebut bertahun-tahun dan mempunyai terlalu banyak penaja serta jenama besar yang bekerjasama dengan mereka.
“Jadi, sudah tentu akan ada persoalan daripada orang ramai. Sebab itulah saya rasa saya sangat bertanggungjawab untuk memberitahu perkara tersebut secara rasmi dalam sidang media,” katanya.

