rizar@mediaprima.com.my
Iskandar Puteri: Pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Eddy Israfilov optimis peluang untuk mencipta kemenangan tampak cerah apabila berdepan Buriram United dalam aksi Zon Timur Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam esok.
Jelas Israfilov persiapan skuad Harimau Selatan mengharungi saingan ACLE pada musim ini berjalan mengikut perancangan dengan latihan pramusim di Sepanyol ternyata mendedahkan pengalaman baharu apabila menentang beberapa kelab terbaik di sana,
“Sudah tentu fokus kami memberi tumpuan sepenuhnya untuk aksi pertama menentang kelab dari Thailand yang sememangnya sukar ditewaskan dan kami mahu keputusan positif pada musim baharu saingan ACLE
“Kami sudah bersedia dan tidak dinafikan Buriram United adalah pasukan yang baik dan mereka juga memilik barisan pemain berkualiti, malah kami gemar menentang mereka kerana setiap kali bertarung di padang ia akan menjadi perlawanan berintensiti tinggi.
“Apapun kami bersedia dengan apa jua senario apabila mereka menyerang menerusi serang balas kerana itu cara mereka beraksi dan selaku pemain pertahanan saya dan rakan lain harus pantas memintas kerana mereka begitu baik apabila melakukan `set-piece’,” katanya.
Mengulas mengenai kombinasi bersama Kevin Medina, Israfilov menegaskan pemain itu mampu menguatkan benteng pertahanan dan dia jelas tidak kekok untuk digandingkan dengan pemain import dari Colombia itu, malah kekentalan pemain itu beraksi beberapa aksi Liga Super tampak begitu konsisten.
Sementara itu, pengendali JDT, Xisco Munoz mengakui agak risau dengan kelibat Guilherme Bissoli yang bakal memberi ancaman terhadap benteng skuad Harimau Selatan, tatkala pemain import Buriram United itu mampu mengubah transisi permainan dengan larian pantas di posisi sayap.
“Bissoli pemain yang berbahaya dan kami perlu mengawasi kelicikan pemain itu, malah apa yang perlu kami lakukan sebaik perlawanan bermula, tampil dengan aksi yang agresif dan kekal berintensiti tinggi kerana kami tidak boleh mengendurkan rentak permainan bagi mengelak Buriram United ambil kesempatan,” ujar Munoz.
© New Straits Times Press (M) Bhd

