Putrajaya: Mahkamah Rayuan di sini, hari ini, meningkatkan hukuman penjara bekas pekerja pasar raya daripada lapan tahun kepada 20 tahun bagi kesalahan menyebabkan kematian seorang kanak-kanak lelaki warga Indonesia berumur dua tahun yang berada di bawah jagaannya pada 2021.
Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Noorin Badaruddin, Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Meor Hashim Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan.
Ketika menyampaikan keputusan itu, Noorin berkata, hukuman penjara lapan tahun yang dijatuhkan ke atas Mohd Noor Ab Manap oleh Mahkamah Tinggi adalah tidak mencukupi kerana gagal mengambil kira beberapa keadaan sekitar yang penting termasuk hakikat bahawa mangsa adalah seorang kanak-kanak yang tidak berdaya dan berada di bawah jagaan serta tanggungjawab tertuduh.
Beliau berkata, hukuman penjara 20 tahun mencapai keseimbangan yang wajar antara kepentingan tertuduh sebagai pesalah dengan kepentingan mangsa dan masyarakat.
Panel itu memerintahkan Mohd Noor, 36, menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 11 November 2021.
Dalam penghakimannya, Noorin berkata, mangsa diamanahkan untuk dijaga oleh Mohd Noor dan isteri dengan bayaran bulanan sebanyak RM250.
Beliau berkata, seorang kanak-kanak yang diletakkan di bawah jagaan orang dewasa berhak mendapatkan perlindungan dan penjagaan daripada individu yang diamanahkan untuk menjaga kebajikannya dengan sebaik mungkin.
“Dalam kes ini, kepercayaan itu telah dikhianati dengan akibat yang paling tragis, iaitu kehilangan nyawa mangsa,” katanya.
Noorin juga berkata, kesulitan kewangan dan tekanan yang dihadapi Mohd Noor tidak boleh diberikan pertimbangan yang besar, serta menambah apa jua tekanan yang mungkin dialami tertuduh tidak menghalalkan dia melepaskan kemarahan kepada seorang kanak-kanak yang masih kecil dan tidak berdaya.
“Responden mempunyai pilihan lain yang boleh diambil termasuk mendapatkan bantuan atau mengembalikan mangsa kepada penjaga asal,” katanya.
Mohd Noor pada asalnya didakwa membunuh Adam, bagaimanapun pendakwaan menerima representasi tertuduh bagi meringankan pertuduhan kepada menyebabkan kematian, yang menyaksikan dan dia mengaku bersalah dan Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun.
Bapa empat anak itu didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Janglau, Rompin, Pahang pada 2 pagi, 11 November 2021.
Mengikut fakta kes, selepas ibu mangsa meninggal dunia, kanak-kanak itu tinggal bersama abang ipar Mohd Noor dan isterinya.
Kemudian, selepas abang ipar tertuduh ditawarkan bekerja di Johor, dia mengamanahkan kanak-kanak itu kepada adiknya dan Mohd Noor untuk dijaga.
Pakar perubatan forensik mengesahkan bahawa kematian mangsa berpunca daripada koyakan pada selaput mesenteri akibat trauma tumpul pada bahagian abdomen.
Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Solehah Noratikah Ismail hadir bagi pihak pendakwaan manakala peguam Aida Rahayu Abdul Rahman dan Amara Abu mewakili Mohd Noor.
© New Straits Times Press (M) Bhd

