Keralam, India: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Keralam, VD Satheesan, hari ini membincangkan usaha untuk memperkukuh kerjasama ekonomi serta memudah cara perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dengan negeri di selatan India itu.
Perbincangan tersebut berlangsung semasa kunjungan hormat Satheesan terhadap Anwar di Calicut, di sini, yang diadakan bersempena dengan lawatan kerja Perdana Menteri ke India bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18 serta lawatan sulung beliau ke Keralam (nama baharu bagi Kerala) sebagai Perdana Menteri.
Antara perkara utama yang dibincangkan adalah kerjasama lebih erat dalam ekonomi digital, penjagaan kesihatan, pelancongan, pendidikan dan sektor bernilai tinggi yang lain.
Kedua-dua pemimpin itu juga membincangkan peluang untuk meningkatkan sektor pelancongan, perniagaan serta pertukaran pengalaman antara rakyat, sekali gus mengukuhkan lagi hubungan antara Malaysia dan Keralam.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengundang Satheesan untuk melawat Malaysia sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh lagi kerjasama dan pertukaran dua hala.
Pertemuan itu merupakan sebahagian daripada rangka lawatan kerja Anwar ke India, yang turut merangkumi pertemuan dengan komuniti perniagaan Keralam serta pihak berkepentingan utama lain.
Turut mengiringi Anwar semasa lawatan kerja ini ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R Ramanan.
Selepas menghadiri sidang kemuncak yang dihoskan Perdana Menteri India, Narendra Modi di New Delhi itu, Anwar tiba di Calicut pada Ahad bagi peringkat kedua dan terakhir lawatan kerja beliau ke negara ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd
