sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Usaha Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memperkemas disiplin pemain kebangsaan mula menunjukkan perkembangan positif apabila tahap pematuhan terhadap peraturan dan sistem latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) kini semakin baik.
Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pihaknya kekal tegas dalam memastikan pemain mematuhi standard disiplin ditetapkan, termasuk tidak menurunkan mereka ke kejohanan antarabangsa jika gagal memenuhi syarat.
“Yang penting, apa yang kita cakap kita mahu buat, kita laksanakan. Jika pemain tidak memenuhi syarat, kadang-kadang kita tidak benarkan mereka bermain di peringkat antarabangsa, termasuk pemain utama.
“Kita juga sudah memberikan beberapa amaran kepada pemain yang tidak memenuhi tahap disiplin ditetapkan. Ada yang merayu, tetapi kita perlu konsisten,” katanya.
Menurutnya, keputusan mewajibkan semua pemain menetap di ABM juga menjadi antara langkah penting untuk memastikan disiplin dapat dipantau dengan lebih berkesan, termasuk aspek latihan dan kehidupan seharian pemain.
Katanya, pada peringkat awal memang terdapat pemain yang kurang bersetuju atas alasan tertentu, namun BAM perlu tegas dalam melaksanakan sistem berkenaan bagi memastikan pemain senior menjadi contoh kepada kelompok muda.
“Sekarang semua pemain kita berada di akademi. Pada mulanya memang ada macam-macam alasan, tetapi kita perlu tegas. Dari segi latihan dan sebagainya, setakat ini nampak okey.
“Pada masa sama, pemain perlu menunjukkan teladan dan menjadi contoh kepada pemain junior. Jadi, isu disiplin ini lebih kepada kita menetapkan standard untuk pemain senior,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
