45 waris 3 generasi keluarga Datuk Non Johari bersatu

Melaka: Seramai 45 waris daripada tiga generasi keluarga Allahyarham Datuk Non Johari atau Datuk Zainol Abidin Johari berjaya dikumpulkan bagi menjayakan Himpunan Warisan Tok Non Johari (HIMWAR-TNJ) 2026) baru-baru ini.

Allahyarham Datuk Zainol Abidin sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Sik, Kedah serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeniang.

Menurut Penasihat HIMWAR-TNJ 2026, Zarina Zainol Abidin, idea untuk mengadakan himpunan keluarga buat julung kalinya itu tercetus hasil daripada perbincangan bersama menantunya.

“Saya terfikir, betul juga kata menantu saya. Keluarga saya besar dan tidak pernah berkumpul sebegini. Mungkin telah tiba masanya untuk kita berkumpul, selepas 28 tahun ayah saya pergi meninggalkan kami semua.” ujarnya.

Hasil daripada cetusan idea itu, HIMWAR-TNJ 2026 akhirnya berjaya direalisasikan dengan penyertaan hampir keseluruhan ahli keluarga daripada tiga generasi.

Program itu diisi dengan pelbagai aktiviti bagi mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli keluarga.

Antaranya termasuklah bacaan tahlil, sukaneka, pertandingan karaoke serta pelbagai aktiviti kekeluargaan yang menceriakan suasana sepanjang himpunan berlangsung.

Menurut Zarina, beliau berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan oleh generasi pelapis pada masa akan datang.

Beliau turut berharap agar himpunan seperti ini dapat menjadi satu wadah untuk generasi akan datang mengenali, menghargai dan terus mengeratkan hubungan sesama waris keluarga.

Untuk rekod, Allahyarham Datuk Zainol Abidin Johari merupakan seorang tokoh politik Kedah yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen dan Senator. Beliau meninggal dunia pada tahun 1998.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top