norhayati_nordin@hmetro.com.my
Sungai Buloh: Bagi memastikan bahan rakaman audiovisual lama yang diterbitkan pada era 1940-an sehingga 1970-an kekal berada dalam keadaan baik, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) melakukan inisiatif pemulihan dan dialih kepada digital.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata aktiviti pemulihan dan pengalihan kepada digital untuk bahan-bahan rakaman lama seperti dokumentari dan dokudrama itu sudah dibuat sejak tahun lalu.
“Tujuan FINAS giat melakukannya adalah bagi memastikan bahan-bahan rakaman lama berkaitan sejarah negara yang pernah dihasilkan pada era 1940-an sehingga 1970-an dulu terus terpelihara dan tidak terjejas akibat kerosakan fizikal serta perubahan zaman.
“Bahan-bahan rakaman audiovisual lama ini penting untuk kita terus menjaganya agar dapat ditonton oleh generasi muda akan datang sekali gus menghargai sejarah. Kalau tidak dibuat proses pemulihan ini, sayanglah kerana akan rosak serta hilang selamanya.
“Jadi, FINAS tampil melakukan inisiatif murni untuk membaik pulih dalam tiga kategori bahan rakaman audiovisual iaitu merah, sudah rosak teruk, kuning pula 50 peratus rosak dan 50 peratus masih baik, manakala hijau, rosak sedikit.
“Apapun, setakat ini bahan-bahan rakaman bagi kategori merah dan kuning sudah siap dipulihkan sepenuhnya serta dialih kepada digital dan kategori hijau tinggal sedikit sahaja lagi untuk direstorasi,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di Menara FINAS, petang tadi.
Ujar Azmir, menerusi usaha pemulihan koleksi bahan audiovisual berkenaan selepas ini sudah tentu ia boleh dijadikan sumber rujukan, pendidikan dan penyelidikan, selain membantu memelihara warisan seni budaya.
“Kerajaan juga memberikan sokongan penuh dalam perlaksanaan usaha dilakukan FINAS ini dengan dana disediakan. Malah, kira-kira 150 judul koleksi dokumentari dan dokudrama sudah pun dipulihkan melaui inisiatif ini dalam tempoh 96 minggu.
“Aktiviti bermula dengan saringan dan pemeriksaan fizikal bagi mengenal pasti tahap serta jenis kerosakan pada setiap bahan, kemudian dilakukan proses pemulihan fizikal yang bersesuaian sebelum diimbas pada resolusi 4K.
“Bahkan, dipastikan juga proses dibuat turut melibatkan pemulihan digital terhadap imej, audio dan warna, selain mengekalkan bahan asal sebagai rujukan sejarah,” katanya selepas acara Sesi Tayangan Khas dan Apresiasi Filem Restorasi Koleksi Audiovisual Khazanah Warisan Negara.
Pada sesi tayangan diadakan, tiga karya lama sudah dipulihkan dan dialih kepada digital dipertonton iaitu Tunku Visit Sabah, Timeless Temiar dan Tongkat Hitam: Harta Buruan serta dibincangkan dalam forum bersama tokoh animasi, Hassan Muthalib dan pakar pemulihan bahan audiovisual FINAS, Nyoh Austine Sidai.
© New Straits Times Press (M) Bhd
