
SHAH ALAM – Perpecahan dan pertelagahan sesama pemimpin Melayu di Semenanjung dibimbangi boleh mengubah imbangan pengaruh politik dalam Persekutuan, terutama ketika Sabah dan Sarawak semakin lantang mengemukakan tuntutan berkaitan kepentingan negeri masing-masing.
Bekas menteri undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim berkata, jika keadaan itu berterusan, kedudukan politik Semenanjung mungkin berubah dengan ketara dalam tempoh 20 tahun akan datang.
Beliau berkata, perkara itu berlaku ketika Sabah dan Sarawak semakin meningkatkan tuntutan berkaitan hasil negeri, pemberian khas serta perwakilan di Parlimen.
“Sabah mahukan 40 peratus daripada hasilnya, dengan menegaskan bahawa pemberian RM1 bilion tidak mencukupi.
“Kemudian Sarawak mahukan 10 peratus daripada jumlah hasil sebagai pemberian khas. Kedua-duanya menuntut 35 peratus daripada keseluruhan kerusi Parlimen.
“Kemudian ada 15 tuntutan lain yang terlalu sukar untuk difahami,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam pada itu, Zaid turut mempersoalkan tindakan pemimpin Melayu di Semenanjung yang menurutnya masih sibuk dengan pertelingkahan politik sesama sendiri.
“Apa yang pemimpin Melayu lakukan? Mereka bertengkar secara terbuka mengenai sama ada mereka boleh mempercayai satu sama lain,” katanya.
Beliau turut menyindir pertikaian UMNO dan Pas berkaitan kerjasama serta pembahagian kerusi, termasuk gesaan supaya Terengganu mengadakan pilihan raya negeri terlebih dahulu bagi membuktikan keikhlasan dalam rundingan.
“Mereka malah meminta Terengganu mengadakan pilihan raya negeri terlebih dahulu untuk menunjukkan mereka boleh menjadi rakan yang jujur dalam rundingan kerusi.
“Betapa menyedihkan mereka boleh jadi,” katanya.
Zaid kemudian memberi amaran bahawa kelemahan dan perpecahan politik di Semenanjung akhirnya boleh mengubah imbangan kuasa dalam Persekutuan.
“Dengan kumpulan pemimpin Melayu seperti ini, Malaya akan menjadi ‘koloni’ Sabah dan Sarawak dalam tempoh 20 tahun,” katanya.
Khaled turut beri amaran
Kebimbangan mengenai kesan perpecahan politik Melayu terhadap hubungan dengan Sabah dan Sarawak turut dibangkitkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Perhimpunan Agung UMNO, Sabtu lalu.
Khaled berkata, perpecahan berterusan dalam politik Melayu bukan sahaja mendedahkan kelemahan masyarakat itu, malah boleh menyebabkan pemimpin Sabah dan Sarawak hilang keyakinan serta rasa hormat terhadap kepimpinan dari Semenanjung.
“Jika kita tidak dapat menguruskan orang Melayu dengan baik, bagaimana kita mahu meyakinkan rakan-rakan kita di Sabah dan Sarawak untuk terus mempunyai keyakinan terhadap kita bagi memimpin negara?” katanya.
Menurut Khaled, sejak pembentukan Malaysia, orang Melayu di Semenanjung diberikan kepercayaan untuk menerajui negara.
Namun, katanya pemimpin Sabah dan Sarawak kini bukan sekadar memerhatikan pertelingkahan sesama pemimpin Melayu, malah mula mempersoalkan sama ada kepimpinan dari Semenanjung masih wajar diberikan kepercayaan untuk menerajui negara.
Beliau berkata, penyatuan politik Melayu penting bagi meyakinkan Sabah dan Sarawak bahawa Semenanjung mempunyai kestabilan politik dan kepimpinan yang mampu terus menerajui pentadbiran negara.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan sebelum ini turut mengingatkan bahawa Sabah dan Sarawak kini merupakan ‘kingmaker’, bukannya lagi ‘simpanan tetap’ politik, dengan sokongan parti dari kedua-dua wilayah semakin penting dalam menentukan pembentukan kerajaan Persekutuan.
