Transformasi digital KKR mesti libatkan PMKS, kontraktor tempatan

PUTRAJAYA: Transformasi digital industri pembinaan perlu merangkumi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta kontraktor tempatan supaya mereka tidak sekadar menjadi pemerhati, sebaliknya berpeluang meningkatkan kemahiran, mengakses teknologi dan menyertai rantaian nilai baharu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, perubahan berkenaan perlu dilaksanakan secara inklusif bagi memastikan pendigitalan dapat memperluas peluang dan tidak mewujudkan jurang dalam kalangan pemain industri.

Beliau berkata, transformasi digital juga tidak akan berjaya sekiranya setiap pihak bergerak secara bersendirian kerana kerajaan tidak mahu mewujudkan sistem yang tidak berhubung antara satu sama lain.

“Kita memerlukan ekosistem yang terbuka dan saling berhubung dengan kerajaan, industri, badan profesional, akademia serta penyedia teknologi bergerak dalam arah yang sama. Dalam dunia digital, kolaborasi bukan lagi satu kelebihan. Kolaborasi ialah syarat untuk berjaya,” katanya ketika berucap pada pelancaran Malaysia BIM Day 2026: Putrajaya Digital Built yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh di sini hari ini.

Tambahnya lagi, semua pihak perlu beralih daripada pemikiran yang hanya berpusat pada
projek kepada pemikiran yang berpusat pada aset, daripada project-centric kepada asset-centric dengan Building Information Modelling (BIM) menjadi jambatan kepada perubahan tersebut, sekali gus maklumat yang dibangunkan semasa perancangan dan pembinaan boleh terus dimanfaatkan dalam operasi serta penyelenggaraan.

Sementara itu, Hannah berkata, Putrajaya kini berada pada satu tahap yang menarik berikutan bandar tersebut sudah melalui kira-kira 30 tahun pembangunan sebagai bandar terancang dan pusat pentadbiran negara.

“Jadi saya harap Malaysia BIM Day ini bukan sekadar tempat kita bercakap tentang teknologi. Gunakan ruang ini untuk lihat di mana kita masih membazir masa, wang dan tenaga. Lihat apa yang sebenarnya boleh kita cegah lebih awal dan cari bagaimana kerajaan, industri, akademia serta penyedia teknologi boleh bekerja bersama untuk menyelesaikannya.

“Tiga puluh tahun pertama Putrajaya adalah tentang membina sebuah bandar. Tiga puluh tahun seterusnya ialah tentang bagaimana kita mengurus bandar itu dengan lebih baik. Kalau BIM boleh membantu kita mengurangkan pembaziran, membuat keputusan lebih awal danmenjaga aset awam dengan lebih baik, maka ia bukan lagi sekadar teknologi pembinaan,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top