yusri.muzamir@bh.com.my
Kuala Lumpur: Kerajaan digesa memperjelaskan status perundangan dan diplomatik bagi permohonan ekstradisi dibincangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari India, Narendra Modi.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata Anwar juga digesa memperincikan isu dibincangkan serta persefahaman dicapai dalam pertemuan kedua-dua pemimpin terbabit.
Katanya, penjelasan juga perlu diberi, sama ada keterangan dan dokumentasi bagi menyokong permohonan New Delhi kepada Kuala Lumpur sudah memenuhi syarat ditetapkan undang-undang Malaysia bagi tujuan ekstradisi.
“PAS merujuk laporan berhubung kenyataan Anwar mengenai isu berkaitan ekstradisi pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik, dibincangkan dalam pertemuan terbaru dengan Modi di New Delhi, India.
“Paling penting, kenyataan terbabit turut menyebut isu berkenaan adalah sebahagian agenda keutamaan ke arah membina kepercayaan dan memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-India.
“Namun, pada masa sama isu terbabit perlu ditangani dengan berhati-hati, sekali gus menghormati undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan isu ekstradisi Zakir yang dikehendaki di India, susulan dakwaan pengubahan wang haram dan ucapan berunsur kebencian, antara perkara dibincangkan dalam rundingan antara Anwar dan wakil negara itu.
Laman berita India New Delhi Television melaporkan Anwar mengesahkan perbincangan mengenai perkara itu diadakan secara ‘tertutup’, dipercayai berlangsung di New Delhi.
Takiyuddin berkata, kerajaan juga perlu menjelaskan sama ada Malaysia sudah membuat apa-apa komitmen politik, sama ada eksplisit atau sebaliknya, berkaitan ekstradisi Zakir yang kini pemastautin tetap di Malaysia sejak 2012 dan disahkan secara rasmi Menteri Dalam Negeri, pada April 2017.
“PAS menyedari Malaysia-India memiliki hubungan dua hala sejak sekian lama dalam bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan, teknologi dan beberapa bidang strategik lain, namun hubungan dua hala yang baik tidak boleh mengatasi syarat dan ketetapan undang-undang negara yang mengawal proses dan perjalanan ekstradisi.
“Malaysia seharusnya memberi pertimbangan wajar kepada apa-apa permohonan ekstradisi yang sah daripada mana-mana negara asing, selaras proses undang-undang, bukan transaksi atau tawar-menawar politik,” katanya.
Takiyuddin berkata PAS merakamkan kebimbangan serius mengenai kemungkinan Zakir menjadi korban politik atau konsesi diplomatik dalam usaha Malaysia membuktikan persahabatan atau memenangi kepercayaan India.
Beliau berkata, kebimbangan itu timbul sekiranya isu berkaitan undang-undang berkaitan ekstradisi yang sah di Malaysia tidak dipatuhi, mahupun prinsipnya dihormati seperti sepatutnya.
“Kes ini bukanlah semata-mata mengenai hubungan antara Malaysia-India, sebaliknya ia adalah ujian sama ada Kuala Lumpur akan mempertahankan prinsip dan ketetapan undang-undang sendiri ketika berhadapan dengan tekanan atau laba diplomatik.
“Hubungan baik dengan mana-mana negara adalah penting, namun kedaulatan negara dan integriti sistem keadilannya lebih penting dan mesti dipertahankan. Satu tidak boleh dikorbankan untuk kepentingan lain,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
