MB tiada kuasa tamatkan jawatan Yang di-Pertuan Besar secara unilateral -Ismail Lasim

MB tiada kuasa tamatkan jawatan Yang di-Pertuan Besar secara unilateral -Ismail Lasim

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Haji Ismail bin Haji Lasim menegaskan bahawa isu berhubung Surat Cara Proklamasi yang didakwa memberi kesan terhadap kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan perlu dilihat berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS 1959) dan prinsip Raja Berperlembagaan.

Tak boleh lihat sebagai persoalan politik atau peribadi

Dalam satu kenyataan, beliau menyatakan perkara itu tidak seharusnya dilihat sebagai persoalan politik atau peribadi, sebaliknya perlu ditentukan berdasarkan kerangka perlembagaan dan undang-undang yang sah.

MB tak punya kuasa secara unilateral

Menurutnya, Menteri Besar tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar kerana kedudukan serta proses berkaitan institusi berkenaan telah diperuntukkan secara khusus dalam UUTKNS 1959.

Ismail turut menegaskan bahawa kewujudan sesuatu Proklamasi tidak bermakna ia secara automatik mempunyai kuasa perlembagaan.

Katanya, perkara utama yang perlu ditentukan termasuk sumber kuasa bagi Proklamasi tersebut, syarat dan prosedur yang ditetapkan UUTKNS 1959 serta sama ada kesemua syarat berkenaan telah dipatuhi.

Dalam konteks Perkara 10 UUTKNS 1959, beliau berkata peruntukan perlembagaan menetapkan kerangka khusus berhubung tindakan terhadap kedudukan Yang di-Pertuan Besar, termasuk keperluan berkaitan proses dan Proklamasi.

MB tiada kuasa tamatkan jawatan Yang di-Pertuan Besar secara unilateral -Ismail Lasim

Foto: MEDIAMBNS

 

Ujarnya, penglibatan Menteri Besar dalam proses yang ditetapkan Undang-Undang Tubuh juga tidak bermaksud jawatan tersebut boleh ditentukan oleh Menteri Besar secara sendiri.

Sebaliknya, setiap peranan yang diberikan kepada Menteri Besar hendaklah dilaksanakan dalam batas serta kehendak UUTKNS 1959.

Beliau turut menegaskan bahawa isu berkenaan bukan soal siapa mempunyai kuasa politik yang lebih besar.

“Dalam sistem Raja Berperlembagaan, kuasa mesti bersumberkan Perlembagaan dan undang-undang. Institusi Diraja, Undang, Menteri Besar dan Kerajaan Negeri masing-masing mempunyai kedudukan serta fungsi yang ditentukan oleh Undang-Undang Tubuh,” ujarnya.

Jelasnya, perkara paling utama ketika ini ialah kesahan dan kesan undang-undang terhadap Proklamasi tersebut.

Yang perlu dipertahankan adalah keluhuran Perlembagaan

Antara persoalan yang perlu ditentukan adalah sumber kuasa perlembagaan bagi Proklamasi, syarat serta prosedur yang ditetapkan UUTKNS 1959 dan sama ada semua syarat serta prosedur itu telah dipatuhi sehingga Proklamasi tersebut mempunyai kesan undang-undang seperti yang didakwa.

Menurut Ismail, persoalan sebesar itu perlu diselesaikan menerusi proses perlembagaan dan undang-undang yang sah, termasuk melalui penentuan kehakiman sekiranya berlaku pertikaian undang-undang.

Dalam pada itu, beliau menegaskan Menteri Besar menghormati sepenuhnya Institusi Yang di-Pertuan Besar, Undang Yang Empat dan UUTKNS 1959.

“Apa yang perlu dipertahankan ialah bukan kepentingan mana-mana individu, tetapi keluhuran Perlembagaan, kepastian undang-undang dan kesinambungan institusi Raja Berperlembagaan.”
Beliau mengakhiri kenyataan dengan menegaskan bahawa UUTKNS 1959 perlu terus menjadi asas dalam menangani isu berkenaan.
“Undang-Undang Tubuh mesti menjadi asas. Proses perlembagaan mesti dihormati. Institusi mesti dipelihara,” ujarnya.

Foto: MEDIAMBNS

Sumber: Facebook Dato’ Ismail bin Lasim

Scroll to Top