puterialia@hmetro.com.my
Petaling Jaya : Menganggap dirinya masih hijau di dalam industri seni, Nadhir Nasar mengakui banyak perkara perlu dipelajari sebagai seorang pelakon.
Meskipun lakonannya dikritik netizen, Nadhir atau nama sebenarnya Ahmad Nadhir Ahmad Nasar, 30, memilih untuk menerima pandangan penonton dengan hati terbuka.
“Cara kritikan yang orang sebut tentang lakonan saya sebenarnya komen-komen membina. Alhamdulillah saya perlukan komen-komen begitu untuk jadikan lebih baik daripada sebelum ini.
“Umur saya baru 30 tahun dan lima tahun dalam industri seni ini, banyak lagi ilmu yang perlu saya cari dan perbaiki.
“Sebagai pelakon muda, saya harus membuka ruang untuk menerima segala kritikan untuk menjadi lebih baik,” katanya ketika ditemui pada sidang media pengenalan pelakon filem Pemuja Syaitan, semalam.
Nadhir berkata, dia menyifatkan komen dilemparkan adalah sebuah keindahan yang dinikmatinya dalam bidang lakonan.
“Selepas berada dalam industri ini, itulah keindahan yang saya nikmati dalam apa yang dilakukan sekarang. Ada orang suka dan ada yang tidak suka.
“Saya hanya meraikan semuanya, saya baca saja komen-komen di media sosial.
“Tak dinafikan sebagai pelakon saya memerlukan kritikan seperti itu kerana pada akhirnya peminat yang membeli tiket untuk menonton filem saya. Jadi saya perlu terima secara terbuka selagi tidak memberi kesan besar pada diri kita,” katanya lagi.
Tidak mampu memuaskan hati semua orang, pelakon filem Chelot ini enggan terlalu memikirkan pandangan penonton yang kurang menyukai hasil lakonannya.
“Dalam 10 orang, mungkin ada dua yang tidak suka tetapi lapan lagi masih memberikan sokongan. Jadi, fokus sahaja kepada individu yang sentiasa menyokong kita.
“Komen-komen sebegitu tidak menjatuhkan semangat kerana saya masih suka dengan apa yang saya lakukan sekarang (berlakon),” kongsinya.
Terdahulu, menerusi filem Chelot, lakonan Nadhir mendapat pelbagai reaksi penonton apabila ada yang menganggap lakonannya agak kekok. Malah, ada yang mendakwa penggunaan lakonan Nadhir seolah-olah dilihat seperti memaksa dan kurang disenangi sesetengah penonton.
Dalam perkembangan lain, Nadhir bakal membintangi filem seram Pemuja Syaitan yang juga naskhah filem pertama arahan Liyana Jasmay.
Diterbitkan oleh Mermaid Studios bersama Suraya Filem Production & Distribution, Pemuja Syaitan bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 15 Oktober depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd

