LONDON – Ratusan penyokong membanjiri kawasan di luar bangunan pencakar langit The Shard di London untuk melihat Ketua Menteri Tamil Nadu, C Joseph Vijay, namun program penampilan awam beliau terpaksa dibatalkan atas faktor keselamatan.
Program yang dijadualkan berlangsung pada Selasa itu dibatalkan selepas Polis Metropolitan London campur tangan susulan kebimbangan mengenai keselamatan orang ramai.
Ramai penyokong dilaporkan menunggu selama beberapa jam di luar The Shard, bangunan tertinggi di United Kingdom (UK), dengan harapan dapat melihat pelakon terkenal yang beralih ke arena politik itu.
Seorang anggota pasukan Vijay kemudian mengumumkan menerusi pembesar suara bahawa program tersebut tidak dapat diteruskan selepas pihak penganjur gagal memperoleh kebenaran diperlukan atas faktor keselamatan.
“Demi keselamatan awam, kami membatalkan program ini kerana tidak mendapat kebenaran berikutan kebimbangan keselamatan,” katanya.
Keputusan itu mengecewakan penyokong, termasuk mereka yang datang dari lokasi jauh dan menghabiskan masa berjam-jam menunggu di sekitar lokasi berkenaan.
Seorang penyokong yang dipetik PTI berkata, beliau memahami keputusan tersebut, namun kecewa kerana ramai sudah lama menunggu untuk bertemu Vijay.
Vijay kini berada di UK mengetuai delegasi kerajaan Tamil Nadu dalam misi menarik pelaburan global ke negeri berkenaan.
Menurut Pejabat Ketua Menteri, delegasi itu menandatangani beberapa memorandum persefahaman (MoU) membabitkan cadangan pelaburan bernilai kira-kira 123 bilion rupee (RM5.18 bilion) sepanjang lawatan tersebut.
Projek berkenaan dijangka mewujudkan lebih 9,400 pekerjaan bernilai tinggi, selain menyokong usaha Tamil Nadu untuk muncul sebagai hab utama pembuatan termaju dan teknologi di Asia.
Vijay dijadualkan menamatkan lawatannya ke UK dan kembali ke India pada Rabu. – Agensi

