am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Pempengaruh, Aisar Khaled, 26, meluahkan dia seorang yang kuat dan tidak mudah menyerah untuk menangani isu daripada pihak didakwa tidak menyenangi dan ingin menjatuhkannya.
Terdahulu, Aisar tampil berkongsi hantaran luahan yang dimuatnaik di Instagram (IG), dan rata-rata netizen memberikan kata-kata semangat dan menghargai segala usaha bantuan dilakukannya buat rakyat Indonesia.
“Banyak orang ingin melihat aku jatuh. Mereka menunggu saat aku lemah, berharap aku gagal, bahkan mungkin merasa bahagia ketika melihat aku terluka.
“Ada yang datang membawa senyum, tetapi dibelakangku mereka menjatuhkan.
“Ada yang mengaku teman, tetapi diam-diam menjadi orang yang paling ingin melihatmu hancur. Aku tahu tidak semua orang menyukaiku, dan aku juga tidak memaksa semua orang untuk memahami perjuanganku,” tulisnya pada hantaran itu.
Ujar Aisar lagi, meskipun sedih dan kecewa dengan apa yang berlaku, tetapi itu tidak bermakna dia akan mengalah dan tiada semangat untuk meneruskan apa sudah dilakukannya selama ini.
“Terluka bukan bererti kalah. Aku mungkin dipatahkan, tetapi aku akan selalu mencari cara untuk bangkit kembali, ketika suatu hari aku berhasil berdiri lebih kuat dari sebelumnya, aku tidak akan sibuk membalas siapa pun.
“Kalian boleh berharap aku jatuh, tetapi jangan pernah berharap aku menyerah.
“Ribuan orang membenciku, tetapi aku percaya jutaan manusia di Indonesia senang dengan kehadiran diriku.
“Aku seorang anak dari negara Malaysia ingin berkongsi kebahagiaan di Indonesia. Bismillah aku kuat,” katanya.
Sehingga kini, hantaran dimuatnaik Aisar itu mendapat lebih 153,000 tanda suka dan lebih 7,500 komen yang ditinggalkan kebanyakan pengikut media sosialnya dari Indonesia.
Terdahulu, muncul berita ditulis media Indonesia mengenai Aisar sudah dilaporkan kepada pihak polis di negara itu atas dakwaan melakukan penipuan dan pengubahan wang bernilai sekitar 5.7 bilion Rupiah (RM1.3 juta).
Laporan itu difahamkan dibuat oleh sebuah agensi yang pernah menjadi rakan kerjanya di Indonesia melalui wakil peguam, Machi Achmad yang mendakwa pihaknya sudah tiga kali menghantar notis tuntutan kepada Aisar, namun tidak menerima maklum balas.
Seorang lagi peguam, Michael Sugijanto memberitahu, isu yang terjadi itu berpunca daripada perjanjian pelaburan antara Aisar dengan syarikat yang diwakili pihaknya.
Perjanjian yang dibuat antara kedua belah pihak menetapkan Aisar perlu melaksanakan beberapa tugasan, namun pihak agensi mendakwa pempengaruh popular itu gagal menyelesaikan kewajipan dipersetujui berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
