'Saya 60 tahun, bapa mentua 47 tahun' – Pak Lan

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Ipoh: “Mulanya kekok juga nak panggil ayah tapi kena biasakan diri kerana walau macam mana pun, dia tetap bapa mentua saya.

“Lama-kelamaan, hilang perasaan kekok dan walaupun tak rapat, hubungan kami baik, malah boleh bersembang juga bergurau,” kata Roslan Harun atau mesra disapa Pak Lan.

Pak Lan, 60, bekerja sebagai tukang cat dan ditakdirkan berkahwin dengan wanita muda, Nur Sofea Safina Mohd Hammali yang berusia 27 tahun, 10 tahun lalu.

Kisahnya mendapat perhatian di media sosial bukan sahaja kerana berkahwin dengan pasangan jauh lebih muda, tetapi juga mencipta keserasian dengan bapa mentua, Mohd Hammali Mohd Yusoff, 47, yang 13 tahun lebih muda daripadanya.

“Ibu (mentua), Hashimah Yon, 44, dan bapa mentua saya tak pernah tunjuk tak suka tapi waktu awal perkahwinan dulu, saya dapat rasakannya daripada perlakuan mereka.

“Sebagai menantu, saya buat macam biasa saja dan tak pernah menjauhkan diri. Syukur kerana lama-kelamaan mereka boleh terima.

“Sekarang kami sudah boleh bergurau senda, cuma setiap kali jumpa bapa mentua, saya tak cium tangannya.

“Tapi saya hulurkan salam dengan pegang kedua-dua tangannya sebagai tanda hormat. Antara kami tiada masalah termasuk dengan ibu mentua dan ipar yang lebih muda daripada saya, malah baru-baru ini kami berkumpul dengan bercuti di Langkawi,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Bercerita lanjut, Pak Lan berkata, dia tidak menyangka hatinya terbuka untuk berkahwin buat kali kedua selepas berpisah dengan bekas isteri pada 1998.

Bagaimanapun, katanya, dia menganggap perkahwinan dengan isterinya itu sebagai jodoh dan aturan terbaik Allah SWT walaupun ditakdirkan berkahwin lagi pada usia separuh abad.

“Saya percaya Allah SWT yang membuka hati saya untuk berkahwin lagi kerana ikutkan sudah muak dengan wanita selepas gagal dalam perkahwinan pertama.

“Tapi sudah sampai jodoh agaknya dan entah kenapa, isteri menaruh perasaan terhadap saya walaupun hubungan awal kami seperti anak dan bapa angkat.

“Terkejut juga bila isteri luahkan perasaan dan lama juga fikir tapi kerana tak nak hampakannya, saya terima.

“Saya tak tahu apa keistimewaan saya pada pandangan matanya namun mungkin dia jatuh cinta kerana saya ambil berat sampai sakit peningnya pun saya peduli hingga bawa ke klinik selain beri nasihat jika diminta,” katanya.

Sementara itu, Sofea mengakui tidak menyesal berkahwin awal iaitu ketika berusia 17 tahun kerana menganggap suaminya itu sebagai ‘imam’ yang tepat buatnya.

Bagi Sofea, jarak usia 33 tahun bukan halangan untuk mereka menjadi teman hidup satu sama lain kerana perkahwinan itu dibina atas dasar cinta, bukannya aturan keluarga jauh sekali terpaksa.

Menceritakan kisahnya, Sofea berkata, dia berkenalan dengan Pak Lan ketika bekerja sebagai pelayan di kedai makan dan kematangan juga layanan baik suaminya itu yang membuatkannya terpikat.

“Saya pernah bercinta dengan lelaki muda yang umurnya lebih kurang saya tapi hubungan kami tak lama.

“Selepas mengenali suami, saya jatuh cinta dengannya, mungkin kerana sikapnya yang ambil berat terhadap saya.

“Saya pun tak tahu macam mana boleh berputik perasaan itu kerana awalnya anggap seperti bapa angkat saja.

“Tapi jodoh menyatukan kami dan tak pernah pujuk emak dengan ayah untuk terima, malah daripada awal lagi saya berterus terang mengenai hubungan kami sebelum luahkan hasrat nak berkahwin dengan suami,” katanya.

Seperti pasangan lain, Sofea berkata, dia dan suami mengambil masa membiasakan diri dengan satu sama lain bagi mencipta keserasian pada awal perkahwinan.

“Saya muda lagi waktu itu, jadi kena ikut rentak suami, suami pun kena cuba ikut rentak saya.

“Syukur kerana Allah SWT permudahkan segalanya, cuma biasalah ada yang mempersoalkan pilihan saya.

“Tapi sampai ke hari ini, kami masih bersama dan berharap umur suami panjang walaupun tak mustahil saya yang pergi dahulu kerana ajal bukan mengenal usia,” katanya yang juga anak sulung daripada lima beradik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top