am@hmetro.com.my
Lahad Datu: Ribuan pengguna laluan Lahad Datu – Tawau, di sini, terkandas apabila Jalan Silam tidak dapat dilalui hampir dua jam akibat limpahan air sungai susulan hujan lebat, petang tadi.
Kejadian menyebabkan kenderaan dari kedua – dua arah terpaksa berhenti, manakala sebahagian pengguna jalan raya dilaporkan terkandas sehingga hampir jam 6 petang.
Tinjauan di lokasi mendapati air beransur surut sebelum kenderaan dibenarkan melalui laluan berkenaan secara perlahan dan terkawal.
Air sungai melimpah ke atas jalan berikutan saluran aliran air yang kecil.
Kontraktor projek Lebuhraya Pan Borneo kemudian mengambil tindakan menggali dan melebarkan saluran terbabit bagi melancarkan aliran air.
Pada masa sama, tular di media sosial mengatakan jambatan di kawasan berkenaan roboh, namun tinjauan mendapati dakwaan itu tidak benar sebaliknya berlaku jalan dinaiki air akibat limpahan sungai.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail ketika dihubungi berkata anggota polis diarahkan ke lokasi bagi mengawal lalu lintas.
Menurutnya sehingga jam 6.30 petang, paras air sudah surut dan kenderaan mula dibenarkan melalui laluan berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
