WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) menggunakan puluhan peluru pemintas Patriot dan pemintas antipeluru THAAD untuk menangkis serangan peluru berpandu balistik Iran baru-baru ini ke atas Jordan, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap stok pertahanan udara AS, lapor The Wall Street Journal.
Tentera AS melepaskan antara 60 hingga 70 peluru pemintas Patriot bagi menangkis serangan yang melibatkan kira-kira 20 peluru berpandu balistik, manakala lebih 12 peluru pemintas THAAD turut dilancarkan, menurut akhbar itu memetik pegawai AS dan serantau yang mengetahui perkara berkenaan.
Menurut laporan itu, jumlah peluru pemintas yang digunakan kira-kira bersamaan dengan jumlah yang digunakan tentera AS sepanjang seminggu pada beberapa peringkat lain dalam konflik berkenaan.
Iran dilaporkan menggunakan kepala peledak yang berpecah kepada beberapa projektil ketika menghampiri sasaran, sekali gus menyukarkan usaha untuk memintasnya.
Sistem pertahanan itu gagal menghalang semua ancaman yang masuk apabila Iran menyerang jet pejuang dan pesawat lain di Pangkalan Udara Muwaffaq Salti di Jordan, namun tiada anggota AS terbunuh dalam serangan tersebut.
Pegawai memberitahu akhbar itu, serangan Iran semakin kompleks sepanjang konflik berkenaan, dengan penggunaan pelbagai jenis peluru berpandu, trajektori, gerakan taktikal dan kepala peledak dalam usaha menembusi pertahanan AS.
Markas Pusat AS (CENTCOM) enggan mengulas laporan itu, manakala Pentagon menolak dakwaan bekalan senjata AS semakin susut.
“Laporan yang mendakwa bekalan senjata AS telah habis adalah sama sekali palsu,” kata jurucakap Pentagon, Sean Parnell, sambil menambah tentera AS masih berkeupayaan bertindak balas terhadap ancaman.
Pada Isnin, Presiden AS, Donald Trump turut mendakwa, AS mempunyai stok peluru pemintas yang besar dan sedang meningkatkan pengeluarannya.
Bagaimanapun, Ketua Pemeriksa Jabatan Pertahanan AS dalam laporan pada minggu ini berkata, konflik itu mengakibatkan kekurangan strategik dalam inventori dan mendedahkan kekangan dalam kapasiti pengeluaran industri pertahanan bagi pengisian semula bekalan senjata.
Menjelang pertengahan Julai, AS menggunakan kira-kira 1,700 peluru pemintas Patriot dan lebih 200 peluru pemintas THAAD sepanjang konflik berkenaan, menurut pegawai yang dipetik The Wall Street Journal.
Kapal Tentera Laut AS turut melancarkan kira-kira 150 peluru pemintas Standard Missile bagi menangkis peluru berpandu dan dron Iran.
Lockheed Martin, pengeluar peluru pemintas Patriot, menghasilkan 620 unit pada 2025 dan sedang berusaha meningkatkan pengeluaran tahunan kepada kira-kira 2,000 unit, menurut laporan itu.
Pegawai AS turut menyuarakan kebimbangan pemindahan sejumlah besar bekalan senjata ke Asia Barat akan menjejaskan keupayaan Washington bertindak balas terhadap potensi ancaman di kawasan lain, termasuk Eropah dan Indo-Pasifik.
Tekanan terhadap inventori peluru pemintas turut mendorong negara-negara Teluk mendapatkan tambahan bekalan pertahanan udara selepas berbulan-bulan berdepan serangan peluru berpandu dan dron Iran, selain menjejaskan ketersediaan sistem pertahanan untuk Ukraine dalam menghadapi serangan Russia.
