Remaja 14 tahun pandu kereta rempuh dua kenderaan di lokasi berbeza

am@hmetro.com.my

Butterworth: Seorang remaja berusia 14 tahun dikesan memandu kereta sehingga menyebabkan kemalangan di dua lokasi berasingan dekat Taman Chai Leng, Perai, di sini.

Dalam kejadian jam 4.50 petang semalam, remaja itu merempuh sebuah kereta yang diletakkan di bahu jalan sebelum meneruskan perjalanan dan dipercayai memandu melawan arus sehingga merempuh sebuah lagi kereta.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Aminuddin Raja Abdullah, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 8.47 malam hari sama.

Menurutnya, polis turut mengesan satu video tular di media sosial yang memaparkan kejadian berkenaan.

“Kemalangan berlaku apabila sebuah kereta dipandu remaja itu dari Lorong Kurau 23 menuju ke Jalan Kurau 1 merempuh sebuah kereta yang diletakkan di bahu jalan.

“Pemandu itu kemudian meneruskan perjalanan sebelum dipercayai memasuki laluan sehala secara melawan arus di Lebuh Kurau 5 dan merempuh sebuah lagi kereta yang sedang bergerak di laluan yang betul,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kemalangan itu mengakibatkan kerosakan pada ketiga-tiga kenderaan terbabit.

“Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan membabitkan mana-mana pihak. Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya, manakala siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial video memaparkan seorang remaja memandu sebuah kereta secara berbahaya sebelum kenderaan itu berjaya dihentikan oleh orang awam di lokasi kejadian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top