Dewan Perwakilan AS lulus resolusi henti perang Iran

WASHINGTON: Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) meluluskan resolusi kuasa perang yang mengarahkan Presiden, Donald Trump mengeluarkan tentera AS daripada permusuhan dengan Iran.

Dewan itu meluluskan H. Con. Res. 93 menerusi undian 220-204, dengan tujuh anggota Republikan menyokong resolusi yang ditaja anggota Demokrat, Seth Moulton.

Resolusi berkenaan mengarahkan pentadbiran Trump untuk mengeluarkan Angkatan Tentera AS daripada permusuhan terhadap Republik Islam Iran, kecuali anggota tentera yang diperlukan bagi mempertahankan pangkalan AS atau sekutunya di Asia Barat.

Ini merupakan kali ketiga Dewan Perwakilan meluluskan resolusi kuasa perang yang serupa ketika konflik itu terus menggugat pasaran tenaga global dan mengurangkan stok senjata berketepatan tinggi Pentagon..

Pejabat Moulton berkata, undian itu merupakan satu lagi langkah ke arah menamatkan konflik ketenteraan pentadbiran Trump dengan Iran.

“Perang yang dikatakan Trump akan berlangsung beberapa minggu kini sudah memasuki enam bulan dan masih berterusan. Perang yang tidak dibenarkan Kongres dan tidak dikehendaki rakyat AS.

“Undian malam ini terhadap resolusi kuasa perang Moulton merupakan satu lagi langkah untuk menamatkan perang Trump dengan Iran, tetapi usaha ini tidak berhenti di sini. Kami akan terus meningkatkan tekanan sehingga Trump mengalah,” menurut pejabatnya.

Anggota Republikan yang menyokong resolusi itu merupakan jumlah terbesar anggota parti berkenaan yang secara terbuka menentang perang tersebut setakat ini.

Secara berasingan, anggota Demokrat dan anggota kanan Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Dewan Perwakilan, Gregory Meeks mengkritik kempen ketenteraan pentadbiran Trump terhadap Iran selepas resolusi itu diluluskan.

Meeks berkata, AS terlibat dalam konflik berkenaan selama hampir 200 hari namun pentadbiran Trump gagal mencapai matlamat yang ditetapkannya.

Beliau menyenaraikan kenaikan harga petrol dan kadar gadai janji, inflasi, perbelanjaan kerajaan berbilion dolar serta kematian dan kecederaan anggota tentera AS sebagai kos konflik berkenaan.

Setakat ini, 19 anggota tentera AS terbunuh manakala lebih 750 lagi cedera sejak AS dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Februari.

“Ini merupakan resolusi kuasa perang ketiga yang diluluskan Dewan Perwakilan untuk menamatkan perang ini, termasuk resolusi saya sendiri yang diluluskan kedua-dua dewan. 

“Presiden mesti menamatkan perang yang gagal ini dan melantik diplomat sebenar, bukan pemaju hartanah untuk bekerjasama secara multilateral mencari penyelesaian diplomatik yang membuka Selat Hormuz dan mengurangkan ketegangan,” katanya.

Pada awal musim panas, Dewan Perwakilan dan Senat meluluskan langkah serupa yang menggesa Trump menamatkan perang dengan Iran, namun Rumah Putih menegaskan langkah itu tidak mempunyai kuasa mengikat di sisi undang-undang.-AGENSI

Scroll to Top