Menteri Thailand tonton siaran langsung konsert ketika sidang Parlimen

BANGKOK – Seorang menteri Thailand dilaporkan menonton siaran langsung konsert menggunakan tablet ketika sidang Dewan Perwakilan sedang membahaskan Rang Undang-Undang Peruntukan Perbelanjaan Tahunan bagi tahun fiskal 2570.

Memetik laporan Thairath, kejadian itu berlaku kira-kira jam 8.50 malam pada 9 September ketika Dewan Perwakilan sedang membahaskan bajet negara berjumlah 3.78 trilion baht ( kira-kira RM472 bilion) dalam bacaan kedua.

Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Amnat Charoen daripada Parti Bhumjaithai, Suksamruay Wantaneeyakul, dilihat menggunakan sebuah tablet untuk menonton siaran langsung konsert Asanee-Wasan ketika persidangan berlangsung.

Bunyi daripada siaran tersebut dilaporkan cukup jelas sehingga dapat didengari oleh wakil media yang berada di balkoni bilik mesyuarat Suriyan.

Suksamruay dipercayai sedang menonton siaran langsung persembahan terakhir Asanee-Wasan.

Bagaimanapun, tiada Ahli Parlimen lain dilaporkan membuat aduan berhubung bunyi daripada siaran tersebut.

Kejadian itu berlaku ketika Dewan Perwakilan sedang meneliti Seksyen 24 berkaitan Kementerian Pendidikan dalam Rang Undang-Undang Bajet 2570.

Sidang tersebut dipengerusikan oleh Speaker Dewan, Sophon Sarum.

Scroll to Top