MCA (Persatuan Cina Malaysia) menjangkakan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) berkemungkinan berlangsung dalam tempoh empat hingga lima bulan akan datang.
Foto: NST
Memetik laporan Harian Metro, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan pola pilihan raya terdahulu apabila kerajaan lazimnya tidak menunggu sehingga genap tempoh lima tahun sebelum membubarkan Parlimen.
Menurutnya, pengalaman daripada 15 pilihan raya sebelum ini menunjukkan kebanyakan pentadbiran hanya bertahan sekitar empat tahun lebih sebelum pilihan raya umum diadakan.
“Kita lihat 15 kali pilihan raya sebelum ini, berapa jangka ataupun pentadbiran untuk setiap penggal? Saya rasa empat tahun lebih atau kurang… Jadi, saya rasa pada waktu ini cuma baki berapa bulan sahaja dan mungkin empat atau lima bulan.
“Kalau nak disegerakan, saya rasa memang lazimnya akan berlaku, tak sampai lima tahun,” katanya selepas selepas merasmikan Konvensyen Tahunan MCA Johor di Yong Peng, semalam.
Dalam pada itu, Ka Siong berkata MCA tidak mempunyai masalah sekiranya PRU16 diadakan lebih awal daripada jangkaan, malah parti itu sentiasa memastikan jenteranya berada dalam keadaan bersedia.
Artikel lain: Percepatkan PRU16? PM tak perlu layan desakan UMNO, lebih penting selesaikan isu rakyat – Mujahid
Beliau berkata persiapan menghadapi pilihan raya bukan sesuatu yang hanya dilakukan apabila pembubaran Parlimen sudah diumumkan, sebaliknya jentera parti perlu berada pada tahap kesiapsiagaan pada setiap masa.
“Kalau nak PRU lagi cepat pun tak ada masalah. Teruskan. Bagi saya, kita sentiasa bersiap sedia. Bukan buat persediaan esok nak lawan baru hari ini kita siap sedia,” tambahnya lagi.
Sumber: Harian Metro (Alias Abd Rani)

