LONDON: Tinggal di kawasan kejiranan yang serba kekurangan mungkin memberi kesan terhadap kesihatan otak apabila kajian mendapati penduduk di kawasan paling daif mempunyai usia otak lebih tua, jumlah isipadu otak lebih rendah dan banyak tanda kerosakan salur darah.
Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Radiology mendapati keadaan persekitaran tempat tinggal mempunyai kaitan dengan perubahan yang diukur pada otak.
Dalam kajian itu, penyelidik menganalisis hampir 3,000 imbasan Pengimejan Resonan Magnet (MRI) otak daripada pesakit berusia antara 18 hingga 96 tahun.
Mereka kemudian membandingkan ukuran otak dengan skor Indeks Kekurangan Kawasan (ADI), yang mengukur tahap kekurangan sosioekonomi sesuatu kawasan berdasarkan faktor seperti pendapatan, pendidikan, pekerjaan dan tempat tinggal.
Hasil kajian mendapati individu yang menetap di kawasan paling daif mempunyai usia otak lebih tua dan jumlah isipadu otak lebih rendah berbanding mereka yang tinggal di kawasan kurang daif.
Mereka juga menunjukkan lebih banyak tanda kerosakan pada salur darah otak, yang boleh dikaitkan dengan kesihatan otak lebih buruk.
“Tempat tinggal anda meninggalkan kesan yang boleh diukur pada otak anda,” kata seorang penyelidik, John-Paul J.Yu.
Beliau berkata, persekitaran seseorang mempunyai kesan yang jelas dan boleh diukur terhadap usia dan secara tidak langsung kepada kesihatan otak.
Penemuan itu mengukuhkan bukti keadaan persekitaran seseorang dilahirkan, tinggal, bekerja dan melalui proses penuaan boleh mempengaruhi kesihatan neurologi dalam jangka panjang.
Penyelidik turut mendapati jumlah kawasan berintensiti tinggi pada jirim putih otak (WMH) lebih tinggi dalam kalangan individu yang tinggal di kawasan kejiranan paling daif.
WMH ialah tompokan cerah yang dapat dilihat melalui imbasan MRI dan dikaitkan dengan kerosakan salur darah kecil dalam otak. Jumlah WMH yang lebih tinggi dikaitkan dengan peningkatan risiko kehilangan daya ingatan, masalah kognitif dan demensia.- AGENSI

