am@hmetro.com.my
Kluang: Operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kelmarin membongkar kegiatan rumah urut warga asing yang menyalahgunakan kediaman di sekitar daerah ini sebagai lokasi aktiviti.
Susulan operasi 25 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi dijalankan kira-kira 7 malam itu turut memberi tumpuan kepada aktiviti yang dipercayai diiklankan dan diuruskan melalui aplikasi komunikasi seperti WeChat dan WhatsApp.
“Kita membuat serbuan di beberapa rumah urut serta premis kediaman yang dipercayai disalahgunakan bagi menjalankan aktiviti tidak bermoral.
“Hasil maklumat dan risikan, perkhidmatan berkenaan dipercayai ditawarkan kepada pelanggan dengan kadar bayaran antara RM70 hingga RM180 bagi satu perkhidmatan dan dibayar secara tunai.
“Penggunaan premis kediaman sebagai lokasi menjalankan aktiviti sedemikian turut dikesan, sekali gus menunjukkan taktik pihak tertentu yang cuba menyembunyikan kegiatan itu daripada perhatian pihak berkuasa,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Mohd Rusdi berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada tujuh wanita warga Vietnam, tiga wanita warga Thailand, tiga wanita warga Indonesia, enam wanita warga Myanmar, seorang lelaki warga Vietnam, tiga lelaki warga Indonesia dan masing-masing seorang lelaki Nepal dan Myanmar.
“Semua yang ditahan berusia antara 25 hingga 41 tahun. Turut ditahan, dua warga tempatan yang dipercayai bertindak sebagai penjaga premis.
“Semua yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.
Mohd Rusdi berkata, tiga Borang 29 iaitu saman kepada saksi dikeluarkan sepanjang pemeriksaan untuk membantu siasatan.
Pada masa sama, Mohd Rusdi berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti pelacuran dan penyalahgunaan pas lawatan sosial.
© New Straits Times Press (M) Bhd

