Chuncheon, Korea Selatan: Seorang lelaki berusia 60-an yang cuba membunuh penduduk kampung dengan mencampurkan racun perosak ke dalam makanan kekal dihukum penjara setahun enam bulan selepas mahkamah menolak rayuan pihak pendakwaan yang mahu hukuman lebih berat, lapor SBS News.
Mahkamah Tinggi Seoul Cawangan Chuncheon menolak rayuan pihak pendakwaan dan mengekalkan keputusan mahkamah rendah yang menjatuhkan hukuman penjara setahun enam bulan terhadap lelaki terbabit atas kesalahan percubaan membunuh.
Lelaki itu didakwa cuba membunuh sebilangan penduduk yang jumlahnya tidak dinyatakan di Chuncheon pada Jun 2024 dengan menuang racun perosak ke dalam gulai ikan pedas yang disediakan penduduk kampung untuk makan tengah hari ketika dia berada di bawah pengaruh alkohol.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa berlaku selepas penduduk menyedari bau pelik daripada gulai berkenaan dan memilih untuk tidak memakannya. Jumlah racun perosak yang dicampurkan juga didapati sedikit.
Pada perbicaraan peringkat pertama, lelaki itu mendakwa dia mencampurkan racun perosak berkenaan untuk menangkap lalat selain mengatakan dia tidak dapat mengingati keadaan sebenar kejadian dengan jelas.
Bagaimanapun, mahkamah menyatakan hukuman tegas perlu dijatuhkan terhadapnya walaupun perbuatannya berakhir sebagai percubaan yang tidak kesampaian.
Pihak pendakwaan yang menuntut hukuman penjara dua tahun enam bulan mengemukakan rayuan dengan alasan hukuman berkenaan terlalu ringan. Namun, Mahkamah Tinggi Seoul Cawangan Chuncheon menolak rayuan itu dan mengekalkan hukuman asal.
© New Straits Times Press (M) Bhd

