Pelaburan RM95 bilion diperlukan bagi jana tenaga tambahan 14-17 GW

Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan penjana tenaga bebas (IPP) memerlukan kapasiti penjanaan tambahan 14-17 gigawatt (GW) atau pelaburan sehingga RM95 bilion dalam tempoh lebih 10 tahun bagi memenuhi peningkatan permintaan tenaga elektrik.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, Moody’s Ratings memaklumkan unjuran itu berdasarkan andaian permintaan itu dapat dipenuhi terutama melalui penjanaan berasaskan gas yang mempunyai kapasiti kukuh dan faktor beban loji pada kadar 50-60 peratus.

“Pada jangka pertengahan, keperluan pelaburan itu dapat dikurangkan jika permintaan lebih besar dapat dipenuhi terutamanya melalui tenaga solar dan sistem penyimpanan tenaga. Ini memandangkan kos tenaga solar makin turun berbanding kapasiti turbin gas kitaran gabungan (CCGT),” maklum agensi penarafan itu.

Menurut Moody’s Ratings, sebarang kelewatan menyiapkan infrastruktur tenaga pula berpotensi untuk mengurangkan margin rizab selain menjejaskan kebolehpercayaan bekalan tenaga elektrik.

Pada masa sama, lebihan kos atau kelewatan projek penjanaan boleh memberi tekanan terhadap kualiti kredit TNB dan IPP, maklumnya.

Langkah melanjutkan tempoh perjanjian pembelian tenaga (PPA) dengan penjana bebas sedia ada pula dapat menyokong bekalan bagi jangka terdekat ketika kapasiti tambahan baharu itu dibangunkan.

Agensi penarafan itu memaklumkan, kerajaan mengunjurkan penggunaan tenaga elektrik oleh pusat data di Semenanjung Malaysia akan meningkat kepada 31 peratus daripada jumlah penggunaan elektrik menjelang 2035 berbanding empat peratus pada 2025 dan seterusnya enam peratus pada separuh pertama 2026.

“Ini hanya menjadi asas kepada pertumbuhan permintaan elektrik dalam jangka panjang walaupun skala dan kadar pertumbuhannya bergantung kepada risiko pasaran dan pelaksanaan.

“Kategori tarif berasingan untuk pusat data serta caj berasaskan permintaan yang diperkenalkan pada 2025 dijangka memudahkan pemulihan kos secara khusus daripada sektor berkenaan,” menurutnya.

Moody’s Ratings juga menjangkakan peluasan kapasiti sedemikian memerlukan perbelanjaan modal tahunan antara RM4 bilion hingga RM5 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang.

Selain itu, sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030, Sarawak Energy Bhd (SEB) menyasarkan eksport tenaga elektrik menyumbang sebanyak 15 peratus daripada pendapatan menjelang 2030 iaitu meningkat daripada kira-kira 4.5 peratus pada 2025.

SEB juga dalam proses perbincangan untuk mengeksport kira-kira 1 gigawatt (GW) tenaga elektrik boleh baharu ke Singapura menggunakan kabel dasar laut.

Tempoh masa serta skala pertumbuhan pendapatan berkaitan eksport akan bergantung kepada aspek pengaturan komersial, pelaksanaan projek serta pembangunan infrastruktur penghantaran elektrik yang rentas sempadan.

Menurut Moody’s Ratings, selain memenuhi pertumbuhan permintaan tambahan, sektor tenaga elektrik Malaysia juga perlu bertindak menggantikan sejumlah besar kapasiti penjanaan elektrik yang sudah berusia.

Kapasiti penjanaan elektrik sebanyak kira-kira 13GW dijadualkan tamat tempoh Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) antara 2026 hingga 2035 yang merangkumi 7GW berasaskan arang batu dan 6GW daripada gas.

Pada masa sama, agensi penarafan itu memaklumkan kapasiti penggantian berkenaan perlu ditauliahkan mengikut masa ditetapkan ketika PPA tertentu dilanjutkan tempoh yang berkemungkinan wajar bagi memastikan bekalan mencukupi.

Malaysia juga perlu mengurus keperluan penggantian kapasiti ini yang sejajar dengan matlamat peralihan tenaga negara.

“Hala tuju dasar Malaysia yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) tidak merancang pembangunan loji janakuasa arang batu baharu dan hasrat mengurangkan penjanaan berasaskan arang batu mengikut jadual penamatan loji-loji berkenaan,

“Keperluan menggantikan kapasiti kemudahan yang ditamatkan sambil menyokong peralihan ke arah campuran penjanaan elektrik lebih rendah karbon, akan mendorong keperluan pelaburan tambahan dalam sektor ini,” maklum agensi penarafan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top