am@hmetro.com.my
Besut: Pasangan suami isteri maut dalam kemalangan membabitkan konvoi motosikal dengan lori sempat minum pagi bersama ahli konvoi sebelum terbabit dalam nahas itu.
Dalam kejadian itu, kira-kira jam 9.45 pagi tadi, mangsa
Mohd Zamri Mohd Zaki, 41, dan isterinya, Norlyana Ismail, 45, dari Batu Rakit disahkan maut di lokasi kejadian berhampiran jalan Gong Kedak, di sini.
Manakala mangsa berasingan iaitu lelaki berusia 51 tahun bersama isterinya berusia 50 tahun serta seorang wanita berusia 51 tahun mengalami kecederaan.
Salah seorang peserta konvoi, Md Faizal Md Yusof, 52, berkata, dia baru sebulan mengenali pasangan itu.
Katanya, mereka berkonvoi dengan 12 motosikal jenama Aveta Nova 250 dari Kuala Terengganu kira-kira jam 7.30 pagi.
“Enam motosikal bergerak dengan pasangan manakala enam lagi motosikal bergerak solo.
“Kami dalam perjalanan ke Kuala Perlis dan singgah menikmati minum pagi di kedai makan berhampiran lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini.
Katanya, selepas minum dan makan, masing-masing mula bergerak dengan berpecah kepada tiga kumpulan.
“Kumpulan pertama diketuai oleh marshal bergerak dahulu diikuti kumpulan kedua serta kumpulan saya yang terakhir.
“Mangsa yang maut serta cedera berada dalam kumpulan kedua apabila konvoi bertembung dengan lori datang dari arah bertentangan.
“Jarak masa saya dengan kumpulan mereka hanya berselang beberapa minit dan ketika melalui lokasi kejadian saya nampak mangsa terbaring tepi jalan,” katanya.
Katanya, walaupun dia baru sahaja mengenali pasangan suami isteri itu namun mereka sangat ceria, suka bergurau serta bersemangat untuk menyertai konvoi tiga hari dua malam.
“Selepas kejadian ini, kami membuat keputusan untuk membatalkan konvoi yang sudah dirancang sejak sebulan lalu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
