Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengingatkan barisan kepimpinan negeri supaya mempunyai pendirian yang jelas dalam membuat sesuatu keputusan dan tidak berubah-ubah.
Kepimpinan tak seharusnya takut dengan tekanan
Menerusi perkongsian videonya di Threads, Ahli Parlimen Port Dickson itu menyatakan, kepimpinan negeri tidak seharusnya takut berdepan sebarang tekanan dan perlu berpegang kepada pendirian yang dibuat.
“Kepada pimpinan, jangan pula sekejap lain, sekejap lain. Kita tak boleh tak ada pendirian, hari ini lain, esok lain, macam apa ni.
“Ini bukan mengurus kedai runcit, ini mengurus negeri dan mesti ada pendirian. Tidak perlu kena tekan, jangan takut dengan manusia, takut kejujuran kita dengan Allah Taala,” katanya.
Dalam perkongsian sama, Aminuddin turut mendoakan agar Negeri Sembilan terus berada dalam keadaan aman, makmur dan maju jaya.
Kenyataan itu hadir ketika kemelut berkaitan kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan menjadi perhatian.
Sebelum ini, media melaporkan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim mengesahkan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Beliau menyatakan, perkara tersebut diputuskan secara sebulat suara oleh semua ahli Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) dalam mesyuarat pada 15 September lalu.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan ahli MMK pada Rabu memaklumkan bahawa mereka telah membuat keputusan kolektif bahawa proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan adalah sah.
Foto: MEDIAMBNS
Perkara tersebut diputuskan dalam mesyuarat MMK yang dipengerusikan Ismail, dengan Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar baharu berkuat kuasa serta-merta.
Pada 9 September lalu, Undang Yang Empat termasuk Undang yang dipertikai menunjukkan dokumen yang didakwa sebagai proklamasi pemecatan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dikatakan telah ditandatangani oleh Ismail.
Ia disusulan dedngan kenyataan media Ismail pada 6 September lalu yang menzahirkan sokongan taat setia kepada Tuanku Muhriz.
Ujarnya, fokusnya ketika itu adalah untuk menjalankan amanah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan demi kepentingan rakyat dan negeri.
Walau bagaimanapun, Ismail mendakwa beliau telah dipaksa menandatangani dokumen proklamasi terbabit, namun tidak menyatakan pihak atau individu yang didakwa memaksanya.
Beliau turut memaklumkan telah membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.
Sumber: Thread dsaminuddinharun
