PGA gempur tapak lombong, rampas 7 jentera bernilai RM1.22 juta

Kuantan: Pasukan Gerakan Am (PGA) menyerbu sebuah tapak perlombongan bijih besi di Sungai Lik, Lipis, semalam, dan merampas tujuh jentera berat bernilai RM1.22 juta serta menahan enam pekerja warga Myanmar.

Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata serbuan menerusi Ops Bersepadu Khazanah pada kira-kira 2.30 petang itu dijalankan anggota Cawangan Risik Batalion 7 PGA dengan bantuan pegawai dan anggota Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP).

Beliau berkata kesemua suspek lelaki berusia antara 22 hingga 39 tahun ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang sah.

“Barang rampasan diserahkan kepada UPNP untuk tindakan dan siasatan lanjut kerana disyaki menjalankan aktiviti mengorek dan memindahkan tanah tanpa lesen atau kebenaran yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata UPNP turut membuat sitaan dan mengarahkan operasi di lokasi berkenaan dihentikan serta-merta, termasuk penggunaan semua jentera sehingga siasatan selesai.

Ahmad Radzi berkata rampasan itu membabitkan sebuah jengkaut bernilai kira-kira RM270,000, lima lori pasir jenis dumper bernilai RM750,000 dan sebuah jentera pemuat (wheel loader) bernilai RM200,000.

Sementara itu, beliau berkata kesemua suspek memaklumkan bahawa mereka bekerja sebagai buruh di tapak berkenaan sejak 2024 dengan menerima gaji RM10 sejam dan bekerja sehingga 13 jam sehari.

“Usaha mengesan majikan akan dilakukan bersama UPNP,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 426(1) Kanun Tanah Negara (Akta 828) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top