Langkawi: Selepas 25 tahun hidup menyewa, impian nelayan pantai, Zulkifli Che Hasin, 55, untuk memiliki rumah sendiri akhirnya menjadi kenyataan.
Nelayan dari Kampung Datuk Syed Nahar di sini, tidak dapat menyembunyikan keterujaan dan bersyukur apabila menerima kunci rumah baharu yang dibina menerusi bantuan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Lebih menggembirakan, Zulkifli bersama isterinya, Aida Mat Johari, 55, dan tiga anak berusia antara 12 hingga 23 tahun kini dapat menjalani kehidupan lebih selesa di kediaman sendiri.
“Memang tak terucap dengan kata-kata. Kami gembira dan bersyukur kerana selepas 25 tahun menyewa, akhirnya kami mempunyai rumah sendiri.
“Sudah lama saya memasang impian untuk memiliki rumah sendiri. Anak-anak pun sangat gembira dan tidak sabar hendak menyambut Aidilfitri akan datang di rumah ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah disempurnakan oleh Ketua Pengarah LKIM, Datuk Dr Abdul Salim Tajudin, di kediamannya, di sini, petang semalam.
Zulkifli yang menjadi nelayan pantai lebih 20 tahun berkata, beliau turun ke laut melalui pangkalan nelayan Sungai Kelibang bagi mencari rezeki untuk menyara keluarganya.
Katanya, pendapatan sebagai nelayan tidak menentu menyebabkan hasrat memiliki kediaman sendiri sukar direalisasikan sebelum menerima bantuan pembinaan rumah bernilai RM84,000 daripada LKIM.
Zulkifli adalah antara dua nelayan di pulau ini yang menerima bantuan menerusi Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) kendalian LKIM, masing-masing berjumlah RM84,000 bagi pembinaan rumah baharu.
Seorang lagi penerima ialah Mansor Man, 73, dari Kampung Kubang Badak.
Sementara itu, Abdul Salim berkata, sebanyak RM408,000 diperuntukkan bagi pelaksanaan projek bina baharu dan baik pulih PKPN di seluruh Kedah tahun ini, membabitkan 14 rumah.
“Pada masa sama, kira-kira RM508,000 turut diperuntukkan LKIM tahun ini bagi menyediakan dan menaik taraf kemudahan berkaitan komuniti nelayan di Langkawi.
“Daripada jumlah itu, RM100,000 diperuntukkan bagi menaik taraf Motel Persatuan Nelayan Kawasan Langkawi di Kampung Penarak, manakala RM168,000 bagi membina dua rumah untuk Zulkifli dan Mansor,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

