Cardiff, Wales: Seorang penyelam bebas terkejut apabila terserempak dengan obor-obor gergasi spesies surai singa ketika berenang di perairan berhampiran Pantai Trefin, Pembrokeshire, Wales, lapor BBC.
Iestyn Morgan, 21, berkata, saiz obor-obor berkenaan dianggarkan sekitar 10 hingga 15 meter yang disifatkannya ‘sepanjang sebuah bas atau kereta api kecil’.
“Daripada tiga menjadi 10, kemudian 20. Ia terus muncul tanpa henti,” katanya.
Menurut Morgan, sesungut haiwan itu begitu panjang sehingga melepasi jarak yang mampu dilihatnya ketika berada di dalam air.
“Saya tidak percaya betapa besarnya ia,” katanya yang mengakui itu kali pertama dia melihat obor-obor itu di Wales.
Morgan yang juga pemuliharaan alam sekitar merakam video untuk media sosial bagi meningkatkan kesedaran mengenai ancaman yang dihadapi laut selain mahu menjadikan persekitaran akuatik lebih mudah diakses orang ramai.
Pada mulanya, dia menyangka haiwan itu ialah obor-obor Kompas, spesies yang berasal dari perairan United Kingdom sebelum menyedari saiznya terlalu besar.
Menurut Wildlife Trusts, spesies itu mendapat namanya daripada sesungutnya yang panjang dan mempunyai “segala keindahan serta sengatan seekor singa”.
Spesies itu boleh membesar sehingga tiga meter panjang manakala sesungutnya yang digunakan untuk menangkap mangsa boleh melebihi 30 hingga 36.5 meter, menjadikannya antara haiwan paling panjang di dunia.
Ahli biologi marin dari University of Southampton, Dr Cathy Lucas berkata, video Morgan menunjukkan panjang luar biasa haiwan berkenaan selain sesungutnya yang begitu panjang dan halus sehingga mungkin tidak dapat dilihat.
Katanya, sengatan obor itu memang pedih dan antara yang paling teruk di United Kingdom, namun tidak berbahaya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyentuhnya dan jika terkena serpihan sesungut pada kulit, mengusirnya menggunakan kayu sebelum membasuh kawasan itu dengan air suam.
Lucas berkata, obor-obor itu sekali-sekala muncul di pantai Wales pada penghujung musim panas atau musim luruh namun habitat utamanya di United Kingdom ialah Scotland.
Morgan pula berkata, dia melihat semakin banyak obor-obor memasuki perairan Wales ketika menjalankan rakaman termasuk spesies dari perairan lebih panas seperti triggerfish yang berasal dari Mediterranean.
© New Straits Times Press (M) Bhd

