BATU PAHAT: Polis Daerah Batu Pahat telah membuka satu kertas siasatan berhubung insiden seorang petugas kontraktor menangkap anjing liar yang menunjuk isyarat tangan tidak sopan di kawasan Sri Gading, di sini.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, laporan itu diterima daripada seorang pengadu perempuan warga tempatan berusia 29 tahun, awal pagi hari ini.
Menurut beliau, insiden berkenaan dipercayai berlaku pada pukul 11.30 pagi, semalam.
“Kejadian dipercayai berlaku semasa pengadu sedang melalui kawasan di mana terdapat beberapa pekerja kontraktor pengurusan haiwan terbiar lantikan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sedang melaksanakan operasi menangkap haiwan terbiar.
“Pada waktu itu, berlaku perselisihan faham di antara kedua pihak sehingga menyebabkan salah seorang pekerja kontraktor telah menunjukkan isyarat tangan berunsur lucah dan mengaibkan kepada pengadu,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Shahrulanuar Mushaddat, sehubungan itu kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336).-UTUSAN
