Kuala Lumpur: Tiada kelibat ahli keluarga Datuk Seri Najib Razak di kediamannya di Jalan Langgak Duta di sini, setakat 7 malam ini.
Ia beberapa jam selepas bekas perdana menteri itu diberikan pengampunan bersyarat untuk menjalani baki hukuman penjara di bawah tanah rumah.
Tinjauan mendapati pengamal media dan penyokong Najib masih berkumpul di luar kediaman itu, menantikan perkembangan lanjut susulan pengumuman yang dibuat berhubung perkara itu, hari ini.
Najib tidak dijangka pulang ke kediaman itu hari ini memandangkan, difahamkan terdapat beberapa proses yang perlu diselesaikan sebelum beliau boleh mula menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.
Terdahulu, pegawai khas kepada Najib, Ahmad Lutfi Azhar dilihat memasuki kawasan kediaman itu dengan menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton berwarna hitam pada 4.35 petang.
Ketibaannya antara pergerakan awal yang dapat dilihat di kediaman itu, di mana lebih 50 pengamal media tempatan dan antarabangsa serta penyokong berkumpul sejak awal hari ini.
Ahmad Lutfi bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkembangan terkini mengenai keberadaan Najib.
Dalam pada itu, kenderaan peronda polis turut kelihatan melakukan rondaan secara berkala di kawasan itu.
Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan hari ini mengumumkan bahawa Najib, 73, diberikan pengampunan bersyarat yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Keputusan itu dibuat pada mesyuarat ke-64 Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya di Istana Negara hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd
