am@hmetro.com.my
Shah Alam: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan menyebabkan cedera parah terhadap ibu saudaranya yang berusia 79 tahun.
Kok Jung Tze, 50, bagaimanapun tidak mengaku bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.
Berdasarkan pertuduhan, Jung Tze didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Damansara Heights, jam 3 petang, pada 18 Januari lalu.
Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan itu dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama, yang memperuntukkan hukuman lebih berat apabila kesalahan dilakukan terhadap anggota keluarga tertentu.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamry, menawarkan jamin RM20,000 dengan syarat tambahan pasport diserahkan ke mahkamah dan tertuduh tidak mengganggu mangsa.
Peguam Joshua Tay, yang mewakili tertuduh, memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai pekerjaan, selain menjaga bapanya dan sudah memberikan kerjasama kepada polis sepanjang siasatan.
“Kami membantah permohonan pendakwaan supaya anak guam saya menyerahkan pasportnya kerana tiada risiko dia melarikan diri.
“Walaupun beliau berada di Australia, beliau kembali ke Malaysia selepas dihubungi polis dan sudah memberikan kerjasama dalam siasatan,” katanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM18,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dan menetapkan 26 Oktober ini untuk sebutan semula kes.
Pada prosiding itu, peguam Ooi Hong Ming hadir sebagai pemerhati bagi pihak mangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd

