norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Meskipun hubungan cinta pelakon, Diana Danielle, 36, dan kekasih dikenali sebagai Bern dilaporkan berakhir baru-baru ini, namun mereka dilihat masih baik.
Meninjau di akaun Instagram (IG) masing-masing, Diana dan Bern masih memuat naik foto mereka bersama dan menariknya Diana turut menitipkan ucapan hari lahir ke-39 kepada lelaki berkenaan.
Pada hantaran terbaharu di IG, Diana tampil memuat naik beberapa foto berdua berserta ucapan istimewa yang meluahkan perasaan cinta dan kasih sayangnya terhadap Bern selama setahun mereka bersama.
“Selamat hari jadi sayangku. Saya cintakan awak, dan saya juga cintakan semua orang di sekelilingku yang turut sayang kepada awak.
“Maka di akaun ini, saya kongsikan gambar-gambar kita… dan, ini juga menandakan 1 tahun kita bersama. Nikmati 39!!! @bvaww,” tulisnya pada hantaran itu.
Terdahulu, Diana secara terbuka berkongsi kisah peribadi apabila mengesahkan Bern adalah lelaki yang sering menemaninya di acara-acara hiburan sebagai teman istimewa.
Difahamkan, hubungan Diana yang juga ibu tunggal dua anak itu dan Bern mula rapat selepas tamat tempoh idah perceraian kali kedua dengan bekas suami, Farid Kamil pada 23 Mac 2025.
© New Straits Times Press (M) Bhd
