Dunia pendidikan sedang berdepan perubahan yang sangat pantas. Jika dahulu pelajar bergantung pada buku, guru dan perpustakaan sebagai sumber utama ilmu, hari ini maklumat berada di hujung jari. Telefon pintar, pangkalan data digital, pembelajaran dalam talian dan kecerdasan buatan (AI) mengubah cara manusia mencari, memahami dan menghasilkan pengetahuan. Namun, perubahan teknologi tidak pernah mengubah hakikat bahawa menuntut ilmu tetap tuntutan besar dalam Islam.
Islam meletakkan ilmu pada kedudukan yang tinggi kerana ilmu membimbing manusia mengenal Allah, memahami tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah serta mengurus kehidupan dengan hikmah. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Allah meninggikan darjat orang yang beriman dalam kalangan kamu dan orang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat.” (Surah al-Mujadalah ayat 11)
Ayat ini memperlihatkan hubungan rapat antara iman dengan ilmu. Ilmu dalam kerangka Ahli Sunah Waljamaah bukan sekadar pengumpulan maklumat, tetapi sesuatu yang membentuk kefahaman, amal dan akhlak.
Rasulullah SAW turut menjelaskan kelebihan perjalanan mencari ilmu melalui sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa yang menempuh suatu jalan untuk mencari ilmu, Allah akan memudahkan baginya dengan sebab itu jalan menuju syurga.” (Hadis Riwayat Muslim)
Ia menggambarkan bahawa perjalanan ilmu bukan semata-mata usaha akademik, tetapi mempunyai nilai ibadah apabila dilakukan dengan niat dan cara yang benar.
Kemunculan AI menjadikan tuntutan itu semakin penting. Dalam beberapa saat, sistem AI generatif boleh menghasilkan teks, meringkaskan dokumen, menterjemahkan bahasa, membantu menganalisis data dan mencadangkan idea. Keupayaan ini memberikan peluang besar kepada pendidikan. Namun, teknologi yang memudahkan manusia juga boleh melemahkan manusia sekiranya digunakan tanpa disiplin.
Di sinilah persediaan diri menjadi sangat penting. Pelajar masa kini perlu membina kekuatan ilmu, spiritual, emosi dan intelektual secara seimbang. Mereka perlu mempunyai disiplin membaca, kemampuan menilai sumber, keberanian bertanya, kesediaan menerima teguran dan kebiasaan berfikir secara mendalam. Dalam dunia yang dibanjiri maklumat, masalah utama bukan lagi ketiadaan maklumat, tetapi kemampuan membezakan antara maklumat yang benar, separuh benar, palsu dan dimanipulasi.
Allah SWT memberikan prinsip yang sangat relevan melalui firman-Nya yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, selidikilah kebenarannya.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)
Prinsip tabayyun ini amat signifikan dalam kehidupan digital. Media sosial memungkinkan sesuatu berita, gambar, rakaman atau pandangan tersebar kepada jutaan manusia dalam masa singkat. Lebih mencabar, teknologi AI mampu menghasilkan kandungan yang kelihatan meyakinkan walaupun mengandungi kesalahan. Maklumat perlu diperiksa melalui sumber berautoriti dan dibandingkan dengan bukti yang boleh dipercayai.
Cabaran lain ialah gangguan terhadap tumpuan. Media sosial dibina dalam persekitaran yang sentiasa bersaing mendapatkan perhatian pengguna. Pelajar boleh menghabiskan masa yang panjang menatal kandungan pendek tanpa menyedari bahawa kemampuan membaca secara mendalam semakin berkurang. Ada ilmu yang tidak dapat difahami melalui video seminit, ringkasan satu perenggan atau jawapan segera daripada AI. Buku tetap perlu dibaca, kuliah perlu didengar, hujah perlu dianalisis dan pemikiran perlu dilatih.
Dalam konteks ini, AI sepatutnya menjadi pembantu kepada proses pembelajaran, bukan pengganti kepada proses berfikir. Seorang mahasiswa boleh menggunakan AI untuk mendapatkan gambaran awal sesuatu tajuk, membina soalan latihan, membandingkan konsep, menyusun idea atau membantu memahami istilah yang sukar. Namun, jawapan yang diberikan AI mesti disemak. AI boleh menghasilkan fakta tidak tepat, rujukan tidak wujud atau kesimpulan yang tidak mengambil kira konteks disiplin tertentu.
Etika menjadi persoalan yang lebih besar apabila AI digunakan dalam tugasan akademik. Mengarahkan AI menghasilkan keseluruhan esei lalu menyerahkannya sebagai hasil sendiri tanpa pengakuan yang sewajarnya boleh bercanggah dengan prinsip integriti akademik dan amanah.
Amanah akademik bermaksud pelajar bertanggungjawab terhadap apa yang ditulis dan diserahkannya. Lebih penting, AI tidak sepatutnya digunakan untuk mereka-reka data, memalsukan rujukan, menyembunyikan plagiarisme atau mengelakkan proses pembelajaran yang sepatutnya dilalui.
Etika penggunaan AI juga melibatkan kerahsiaan dan privasi. Pelajar perlu berhati-hati sebelum memasukkan data peribadi, dokumen sulit, data penyelidikan yang belum diterbitkan atau maklumat individu lain ke dalam sistem AI.
Mahasiswa Muslim masa hadapan bukanlah mahasiswa yang menjauhi teknologi. Mereka ialah generasi yang mampu menguasai teknologi tanpa dikuasai olehnya; menggunakan AI tanpa kehilangan kemampuan berfikir; mengejar kemahiran tanpa mengabaikan adab serta mencapai kecemerlangan akademik tanpa mengorbankan amanah.
Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Pusat Pendidikan Universiti Malaya, Bachok, Kelantan
© New Straits Times Press (M) Bhd
