am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Saya diugut bunuh dan terima pelbagai ugutan lain kerana membongkar premis makanan yang beroperasi tanpa sijil halal.
“Saya terima ugutan menerusi mesej yang dihantar ke telefon pintar, setiap kali memuat naik maklumat itu di media sosial,” kata Naim Malik.
Aktivis Pejuang Halal itu berkata, ugutan itu tidak membuatkan dia gentar, sebaliknya lebih menjadi pemangkin untuk aktif menyiasat dan mendedahkan status halal sesebuah premis makanan yang diragui.
Menurutnya, tindakan berani ini dilakukan atas dasar menegakkan kebenaran dan sebagai satu tanggungjawab fardu kifayah demi melindungi kepentingan pengguna Islam.
“Hari ini ramai pengguna Islam makan di restoran yang tiada sijil halal kerana terpengaruh dengan ulasan makanan daripada pempengaruh.
“Mereka tidak membuat semakan status halal restoran terlebih dahulu sebelum datang,”katanya.
Katanya, tambahan pula penggunaan istilah seperti ‘Muslim-friendly’ dan ‘Muslim Choice’, kini semakin meluas di premis makanan, khususnya di pusat beli-belah.
“Sedangkan istilah ini tidak diiktiraf sebagai perakuan atau penanda halal yang sah.
“Begitu juga dengan istilah ‘no pork, no lard’, ia tetap bukan jaminan halal.
“Perkara yang menjadi kebimbangan ialah sumber bahan mentah yang mungkin tidak halal, termasuk haiwan tidak sembelih mengikut hukum syarak dan menggunakan alkohol dalam masakan,”katanya.
Katanya, sebarang penggunaan istilah atau logo seumpama itu boleh mengelirukan pengguna Islam mengenai status halal sesebuah premis.
“Usaha itu bukan bertujuan menjatuhkan mana-mana pihak, sebaliknya bagi memastikan pengguna Islam mempunyai maklumat yang mencukupi untuk membuat pilihan yang lebih yakin dan berinformasi ketika menikmati hidangan di luar.
“Antara isu dibangkitkan ialah kewujudan aplikasi ‘Muslim Choice’ yang didakwanya dibangunkan dan diuruskan oleh pihak bukan Islam bagi menyenaraikan premis halal.
“Keadaan ini menimbulkan kebimbangan terhadap ketelusan maklumat yang dipaparkan kepada pengguna Islam,”katanya.
Naim berkata, difahamkan terdapat restoran bukan Islam yang menjual makanan tidak halal, termasuk daging babi, tetapi tidak meletakkan status tidak halal pada platform penghantaran makanan.
“Premis berkenaan menggunakan nama restoran yang kedengaran seperti restoran milik orang Islam, sekali gus berpotensi mengelirukan pengguna.
“Ini berdasarkan maklumat yang diterima daripada beberapa penghantar makanan, apabila mereka mengambil pesanan, premis tersebut sebenarnya ialah restoran bukan Islam yang turut menjual daging babi dan minuman beralkohol,” katanya.
Naim mendakwa premis terbabit sengaja tidak mengisytiharkan status tidak halal bagi menarik pelanggan Islam, selain menawarkan menu biasa seperti nasi goreng, mi goreng dan hidangan makanan laut yang tidak menimbulkan syak wasangka.
‘Terkejut bila tahu bahan mentah juga tidak halal’
Kuala Lumpur: Berselindung di sebalik penggunaan nama Melayu, imej Islam serta paparan ayat suci al-Quran di restoran bagi mengaburi mata pelanggan.
Itu antara taktik licik digunakan segelintir pemilik restoran dipercayai bukan beragama Islam untuk memancing kepercayaan serta menarik pelanggan Muslim.
Aktivis Pejuang Halal Naim Malik mendakwa berjaya membongkar ribuan premis makanan di negara ini yang dipercayai beroperasi tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia, dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Tetapi premis berkenaan terus dikunjungi ramai pelanggan Islam, walaupun status halal makanan yang dijual masih diragui.
Menurutnya, tindakan pemilik restoran berkenaan disifatkan keterlaluan kerana tergamak mengelirukan pengguna dan tidak menghormati sensitiviti umat Islam demi mengaut keuntungan.
“Paling mengejutkan ialah sumber bekalan bahan mentah juga tidak halal.
“Ketika ini saya mempunyai senarai lebih 100 restoran yang sedang dalam proses untuk didedahkan status halalnya,”katanya.
Katanya, perjuangannya bermula sejak tiga tahun lalu, setelah ahli keluarganya mengunjungi sebuah restoran yang disyorkan pempengaruh media sosial, namun tiada pihak dapat mengesahkan status halalnya.
“Daripada situ saya mula membuat semakan sendiri di portal rasmi JAKIM.
“Ramai pengguna Islam memilih untuk makan di sesuatu tempat hanya kerana tular, tanpa menyemak sama ada premis itu benar-benar mempunyai pensijilan halal atau tidak.
“Saya aktif menggunakan TikTok untuk berkongsi maklumat mengenai status halal premis makanan dan menggalakkan orang ramai membuat semakan sebelum memilih lokasi menjamu selera,” katanya.
Naim berkata, kebanyakan maklumat datang daripada pengikutnya di media sosial.
“Mereka berkongsi lokasi premis yang menimbulkan persoalan berkaitan status halal dan meminta saya membuat semakan.
“Setiap maklumat yang diterima tidak terus dikongsikan kepada umum.
“Sebaliknya, saya membuat semakan terlebih dahulu, termasuk meneliti maklumat pemilik premis, mendapatkan penjelasan daripada pengusaha dan menyemak status pensijilan halal melalui portal rasmi,” katanya.
Menurutnya, dia pernah melihat sebuah restoran makanan Thailand yang menghidangkan minuman keras kepada pelanggan bukan Muslim mengunakan jag.
“Mereka menukar bekas minuman itu (jag) untuk mengelakkan pelanggan Islam menyedari hidangan minuman keras berkenaan.
“Sudah pasti jag yang sama, berpotensi digunakan untuk menyediakan minuman kepada pelanggan Muslim,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
