Pelakon Norman Hakim meluahkan rasa syukur kerana dikurniakan isteri, Memey Suhaiza, yang terus berada di sisinya sepanjang 15 tahun mendirikan rumah tangga.

Menerusi hantaran sempena ulang tahun perkahwinan mereka, Norman mengimbas kembali pelbagai fasa yang dilalui bersama, termasuk saat suka dan duka, tawa dan air mata serta pengalaman jatuh bangun sepanjang membina kehidupan sebagai suami isteri.
“Bila Abang imbau semua yang telah kita lalui…yang indah, yang sukar, tawa, air mata, jatuh dan bangun…satu perkara yang Abang paling syukuri ialah Allah memilih Sayang untuk berjalan di sisi Abang,” tulisnya di Instagram.
Norman turut menghargai kesetiaan Memey yang bukan sahaja menjadi isterinya, malah sahabat serta makmum yang sentiasa mempercayainya sebagai imam dalam keluarga.

“Terima kasih sepanjang 15 tahun ini sentiasa menjadi isteri, sahabat dan makmum yang taat dan setia. Terima kasih kerana percaya kepada Abang sebagai imam, walaupun Abang sendiri masih banyak kekurangan dan masih terus belajar untuk menjadi suami, ayah dan pemimpin keluarga yang lebih baik,” ujarnya.
Menurut Norman, Memey juga menjadi tempat untuknya kembali selepas melalui kepenatan dalam kehidupan, selain bersama-sama membesarkan anak-anak, mengejar impian dan menyusun kehidupan keluarga.
“Sayang pun adalah ‘rumah’ tempat Abang kembali. Tempat Abang menemukan ketenangan selepas penat berjuang, tempat kita membesarkan anak-anak, membina impian dan menyusun kehidupan ini bersama-sama,” luahnya.
Artikel lain: Abby Abadi buat muka, ‘berbulu’ tengok Norman Hakim makan bersuap dengan Memey
Dalam ucapan sama, Norman memanjatkan kesyukuran kepada Allah atas segala nikmat dan kesempatan yang diberikan sepanjang perjalanan rumah tangga mereka.
“Terima kasih Allah atas segala nikmat, rahmat dan kesempatan ini. Terima kasih kerana meminjamkan kepada Abang seorang wanita yang telah menemani Abang selama 15 tahun,” .
“Ya Allah…sebagaimana Kau satukan kami di dunia ini, peliharalah cinta, iman dan keluarga kami. Panjangkanlah perjalanan ini dalam keberkatanMu dan izinkan kami terus berpimpin tangan sehingga ke penghujung usia dan akhirnya dipertemukan kembali di syurga-Mu,” tambahnya lagi.
Sumber: Instagram normanhakim_786

