PENANTIAN 36 tahun skuad sepak takraw lelaki negara untuk kembali meraih emas regu berpasukan di Sukan Asia akhirnya terlerai selepas Malaysia menewaskan Thailand 2-0 pada final Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 sebentar tadi.
Bertempat di Nagoya City Mizuho Arena, kejayaan itu mengulangi pencapaian bersejarah pada Sukan Asia Beijing 1990 apabila Malaysia turut menewaskan Thailand di pentas final bagi merebut emas acara sama.
Malaysia membuka tirai dengan kemenangan regu pertama yang dibarisi Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Farhan Adam dan Mohamad Azlan Alias ke atas trio Thailand, Marukin Phanmakon, Putawan Sopa dan Pornthep Tingbangbon.
Walaupun dipaksa bekerja keras selepas tewas set kedua 5-15, trio negara bangkit pada set penentuan untuk mencatat kemenangan 15-9, 5-15, 15-11 sekali gus memberikan mata pertama buat Malaysia.
Regu kedua yang menampilkan Muhammad Zulkifli Abd Razak, Aidil Aiman Azwawi dan Muhammad Afifudin Razali kemudian menyempurnakan misi negara apabila menewaskan Kritsanapong Nontakote, Tanaphon Sapyen dan Wuttinu Kamsanor 15-13, 15-10.
Kemenangan itu turut menyaksikan Malaysia menewaskan Thailand dalam final regu berpasukan buat kali kedua berturut-turut selepas turut melakukannya pada Sukan SEA Thailand 2025, Disember lalu.
Pingat emas sepak takraw itu juga menjadi emas keempat yang diraih kontinjen Malaysia pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.



