MTEM tuntut kerajaan tangguh perubahan syarat ekuiti Bumiputera

MTEM tuntut kerajaan tangguh perubahan syarat ekuiti Bumiputera

SHAH ALAM – Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menuntut kerajaan menangguhkan pelaksanaan perubahan syarat minimum 30 peratus ekuiti Bumiputera bagi syarikat yang mengendalikan institusi pendidikan swasta (IPS).

Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, Mohd Syahnis Salleh berkata, penangguhan itu perlu sehingga satu mekanisme lebih kukuh diwujudkan bagi menjamin pemilikan dan penguasaan Bumiputera dalam sektor berkenaan.

Menurutnya, pemansuhan sesuatu instrumen dasar yang memberi ruang kepada pemilikan Bumiputera tidak boleh dibuat tanpa penjelasan jelas mengenai mekanisme gantian untuk memastikan pemilikan dan penguasaan ekonomi Bumiputera terus diperkukuh.

“Pendidikan bukan sekadar sektor sosial. Ia adalah industri strategik dan sebahagian daripada ekonomi masa depan negara melibatkan aset, modal, teknologi, kandungan dan penciptaan kekayaan jangka panjang.

“MTEM menuntut Menteri Pendidikan memberikan penjelasan terbuka mengenai apakah asas dan kajian yang membawa kepada keputusan memansuhkan syarat 30 peratus tersebut?” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, KPM memaklumkan bahawa syarat pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera tidak lagi diwajibkan bagi syarikat sendirian berhad yang mengendalikan IPS di bawah kementerian tersebut.

Menurut kenyataan KPM pada Isnin, keputusan berkenaan dicapai selepas sesi perbincangan dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Mohd Syahnis berkata, Menteri Pendidikan juga digesa menjelaskan kesan keputusan itu terhadap pemilikan Bumiputera dalam sektor pendidikan swasta dan mekanisme baharu bagi memastikan penyertaan dan pemilikan Bumiputera tidak semakin terhakis.

Beliau berpandangan, jika kerajaan melihat syarat 30 peratus mempunyai kelemahan, mekanismenya perlu diperbaiki dan bukannya menghapuskan ruang pemilikan Bumiputera tanpa pengganti.

“MTEM tidak mahu Bumiputera hanya menjadi pengguna dan pekerja dalam industri pendidikan, sedangkan pemilikan aset dan perusahaan pendidikan bernilai tinggi semakin tertumpu kepada pihak lain,” ujarnya.

Menurut Mohd Syahnis, kerajaan juga perlu memahami bahawa keyakinan dan sokongan masyarakat Bumiputera bukan sesuatu yang boleh diambil mudah.

“Jika dasar dilihat mengurangkan ruang pemilikan Bumiputera terus dilaksanakan tanpa penjelasan dan mekanisme perlindungan jelas, sokongan dan keyakinan masyarakat Bumiputera terhadap kerajaan semasa akan semakin terhakis,” katanya.

Tegas beliau, agenda Bumiputera mesti diterjemahkan kepada pemilikan dan penguasaan ekonomi sebenar, bukan sekadar slogan.

Scroll to Top