Laporan tambah kerusi Parlimen tidak benar – SPR

Laporan tambah kerusi Parlimen tidak benar – SPR

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan laporan yang mendakwa terdapat cadangan penambahan bahagian pilihan raya Parlimen di Sarawak berdasarkan dokumen kajian semula persempadanan (KSP).

Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, tiada cadangan untuk menambah bahagian pilihan raya Parlimen di Sarawak buat masa ini termasuk yang dikaitkan dengan perbincangan mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“SPR ingin menegaskan bahawa tiada cadangan untuk pertambahan bahagian pilihan raya Parlimen di Sarawak buat masa ini melibatkan mana-mana bahagian pilihan raya seperti didakwa oleh akhbar berkenaan yang merujuk kepada perbincangan MA63.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Untuk makluman, hanya syor KSP Negeri Sarawak Ke-7 disediakan oleh SPR dan kini sedang dipamerkan secara rasmi kepada orang ramai untuk tempoh sebulan bermula 1 September hingga 30 September 2026,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, SPR menyeru pihak akhbar berkenaan agar sentiasa merujuk maklumat mengenai KSP yang sahih dan tepat di portal atau kenyataan rasmi yang dikeluarkan SPR.

Terdahulu, sebuah akhbar melaporkan kajian syor persempadanan (KSP) kawasan pilihan raya bagi Sarawak dijangka menyaksikan pertambahan 15 kerusi Parlimen baharu, sekali gus memastikan komposisi satu pertiga perwakilan dari negeri itu dan Sabah di Dewan Rakyat.

Laporan itu mendakwa ia berdasarkan dokumen cadangan persempadanan semula bahagian pilihan raya Sarawak yang akan menyaksikan jumlah kerusi bagi negeri itu bertambah daripada 31 kepada 46.- UTUSAN

Scroll to Top