am@hmetro.com.my
Pekan: Ahli keluarga Datuk Seri Najib Razak menghargai sumbangan orang ramai dalam membantu menjelaskan denda RM50 juta yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri itu.
Anak sulung Najib, Datuk Mohamad Nizar berkata, ahli keluarganya bersyukur dengan sumbangan berkenaan yang menunjukkan jasa bekas Perdana Menteri itu tetap dikenang.
Katanya, tiada paksaan dalam menghulurkan sumbangan itu dan ia adalah pemberian sukarela daripada orang ramai.
“Oleh itu, saya dan keluarga berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang menyumbang dan kalau ikutkan logik fikiran, mereka menyumbang sebagai membalas jasa ayah saya,” katanya.
Mohamad Nizar yang juga Naib Ketua UMNO Pekan berkata demikian pada sidang media UMNO Bahagian Pekan yang menjunjung kasih keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengumumkan Najib, 73, mendapat pengampunan bersyarat yang membolehkannya menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah hingga 23 Ogos 2028, tertakluk syarat ditetapkan termasuk membayar denda RM50 juta.
Keputusan itu dibuat pada mesyuarat ke-64 Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya di Istana Negara.
Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Seri Mohammad Fakhruddin Mohd Arif.
Sementara itu, Mohammad Fakhruddin berkata, UMNO Pekan menjunjung kasih ke hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas perkenan berhubung pengampunan bersyarat yang diberikan melalui Lembaga Pengampunan pada 18 September lalu.
Justeru, katanya, UMNO Pekan akan sentiasa mendoakan semoga Allah SWT mengurniakan ketabahan dan kesihatan yang baik serta mempermudahkan segala urusan Najib.
“Sebagai tanda kasih dan sayang yang tidak berbelah bahagi, UMNO Pekan menggerakkan kepemimpinan di setiap peringkat untuk mengumpulkan dana sebanyak mungkin bermula 19 September lalu.
“Jumlah kutipan yang dikumpul selama enam hari sejak tabung itu dilancarkan berjumlah RM36,204.15,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




