Kuala Lumpur: Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan kerajaan Filipina bersetuju mengenai beberapa langkah untuk memajukan pelaksanaan perjanjian damai Bangsamoro dalam satu mesyuarat khas di sini, kata Pengerusi Panel Pelaksana Damai MILF, Mohagher Iqbal.
Beliau berkata, persetujuan itu termasuk pembaharuan mandat Kumpulan Tindakan Bersama Ad Hoc dan Komponen Perlindungan Awam Pasukan Pemantau Antarabangsa, selain kelulusan rangka kerja berkaitan senjata ringan dan jenis senjata lain.
Iqbal berkata, kemajuan yang dicapai pada Mesyuarat Khas Panel Pelaksana Damai GPH-MILF pada Jumaat turut membantu memperkukuh kepercayaan dan keyakinan antara MILF dan kerajaan Filipina (GPH).
“Pada awalnya, suasana agak berhati-hati, tetapi selepas semua perbincangan … suasana menjadi lebih mesra dan semua orang ketawa.
“Ini menunjukkan bahawa walaupun kami tidak mencapai persetujuan dalam beberapa isu, secara keseluruhannya kami bersetuju mengenai beberapa perkara dan ini membolehkan kedua-dua pihak melihat penglibatan ini sebagai satu langkah ke hadapan yang sangat positif,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas itu pada Jumaat.
Mengenai prospek Perjanjian Penamatan, Iqbal berkata, tiada tempoh masa ditetapkan bagi pemeteraiannya kerana ia bergantung kepada kedua-dua pihak memenuhi komitmen masing-masing di bawah Perjanjian Komprehensif mengenai Bangsamoro (CAB).
“Ia mungkin dalam masa terdekat. Ia mungkin juga kemudian, bergantung seperti yang saya katakan, kepada pematuhan kedua-dua pihak. Ia tidak terikat dengan tempoh masa,” katanya.
Iqbal berkata, Perjanjian Penamatan akan menandakan berakhirnya rundingan antara kerajaan Filipina dan MILF selepas CAB dilaksanakan secara menyeluruh.
“Setakat yang membabitkan MILF, segala-galanya telah diselesaikan dan kaedah serta kuncinya ialah melaksanakan Perjanjian Komprehensif mengenai Bangsamoro secara jujur dan penuh komitmen dalam semua aspek,” katanya.
Mesyuarat khas itu diadakan susulan mesyuarat Panel Pelaksana Damai GPH-MILF di Davao City pada 4 Ogos, yang menyaksikan kedua-dua pihak menandatangani Deklarasi Kesinambungan Perkongsian dan bersetuju mengadakan mesyuarat di Kuala Lumpur bagi memajukan pelaksanaan CAB.
Delegasi kerajaan Filipina diketuai Penasihat Presiden mengenai Keamanan, Rekonsiliasi dan Perpaduan, Setiausaha Mel Senen Sarmiento, manakala Iqbal mengetuai delegasi MILF.
Fasilitator proses damai, Jeneral (B) Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin turut hadir.
© New Straits Times Press (M) Bhd




