Kerajaan sedia timbang kembalikan keistimewaan status bebas cukai Langkawi – PM

Kerajaan sedia timbang kembalikan keistimewaan status bebas cukai Langkawi – PM

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Kerajaan Persekutuan sedia mempertimbangkan cadangan mengembalikan keistimewaan status bebas cukai Langkawi bagi membantu merancakkan aktiviti perniagaan di pulau peranginan itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu susulan titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang mahu kegiatan perniagaan di Langkawi dipertingkat.

“Datuk Setiausaha Kerajaan Negeri (Datuk Seri Norizan Khazali) sebut tadi pasal surat cukai Langkawi. Tak apa itu kita boleh fikirkan.

“Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah ada pesan, dia nak angkat balik kegiatan perniagaan di Langkawi.

“Saya setuju, saya timbang,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Skim Usahawan Bangkit Negeri Kedah di Dewan Kompleks Persekutuan Muadzam Shah, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Sultan Sallehuddin ketika Istiadat Perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah bertitah supaya Kerajaan Persekutuan mengembalikan status Langkawi sebagai pulau bebas cukai dengan keistimewaan yang dinikmati sebelum ini.

Baginda dipetik bertitah status Langkawi sebagai pulau bebas cukai masih kekal, namun beberapa keistimewaan yang sebelum ini dinikmati telah dikurangkan.

Antara perkara yang disentuh termasuk pelaksanaan kadar cukai terhadap kenderaan yang dihadkan, selain cukai terhadap produk berasaskan tembakau dan barangan lain.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top